LRT Laluan Ampang beroperasi dalam mod sementara mulai esok

LRT Laluan Ampang beroperasi dalam mod sementara mulai esok

Kuala Lumpur: LRT Laluan Ampang akan beroperasi dalam mod operasi sementara bermula esok selepas sebahagian besar kerja baik pulih susulan insiden di Stesen Chan Sow Lin minggu lalu diselesaikan.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjalanan antara Putra Heights dan Sentul Timur akan kembali beroperasi seperti biasa tanpa perlu sebarang pertukaran tren.

Penumpang dalam perjalanan antara Ampang ke Sentul Timur serta sebaliknya hanya perlu membuat satu pertukaran tren di Stesen Chan Sow Lin, yang dijangka menambah kira-kira lima minit kepada tempoh perjalanan keseluruhan pada waktu puncak.

“Di bawah mod operasi sementara, petugas sokongan akan terus ditempatkan di stesen utama bagi memastikan perjalanan kekal lancar, khususnya dengan jangkaan peningkatan jumlah penumpang selepas cuti panjang,” menurut kenyataan itu.

Bagi menyokong operasi sementara itu, sebanyak 10 bas perantara ulang-alik percuma disediakan untuk penumpang di laluan Stesen Chan Sow Lin-Stesen Masjid Jamek-Stesen Bandaraya dan Stesen Chan Sow Lin-Stesen Maluri-Stesen Pandan Jaya-Stesen Ampang.

Kekerapan perkhidmatan itu antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.

Rapid KL memaklumkan pasukan kejuruteraan dan teknikal telah melaksanakan pelbagai kerja pembaikan, penggantian komponen yang terjejas serta pemulihan sistem berkaitan termasuk pemeriksaan menyeluruh terhadap aset tren dan infrastruktur bagi memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan prestasi operasi pada tahap optimum.

Kerja baik pulih itu turut melibatkan proses mengalih dan mengangkat semula tren yang terlibat ke atas landasan sebelum semua gerabak dibawa ke depot untuk pemeriksaan serta penilaian menyeluruh.

Rapid KL memaklumkan pemeriksaan tambahan, pengesahan teknikal, pelarasan sistem serta pemantauan khusus masih diteruskan bagi memastikan semua aspek operasi dan infrastruktur memenuhi piawaian keselamatan.

Penumpang dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top