Hala tuju kerjasama Pas-Bersatu ditentukan Isnin depan – Annuar Musa

Hala tuju kerjasama Pas-Bersatu ditentukan Isnin depan – Annuar Musa
Hala tuju kerjasama Pas-Bersatu ditentukan Isnin depan – Annuar Musa

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Dapatan perbincangan mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dijadual diadakan Isnin depan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat itu bakal memperincikan tindakan lanjut berhubung hasil perbincangan dalam Majlis Syura Ulama parti sebentar tadi.

“Mesyuarat (Majlis Syura Ulama PAS) setakat ini masih berjalan dan fokus perbincangan terarah kepada penyatuan ummah dan kepentingan perpaduan.

“Perbincangan turut memberi perhatian mendalam mengenai perpecahan yang berlaku hingga merugikan politik nasional.

“Apa pun, sebarang keputusan dan perincian dicapai mesyuarat Syura Ulama Pas akan dibawa ke Jawatankuasa Pas Pusat dijangka Isnin,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat parti itu di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dalam perkembangan lain, Annuar memaklumkan, mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas tidak membincangkan tentang agenda pilihan raya negeri (PRN) Johor selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan pada Isnin.

Bagaimanapun ujarnya, perbincangan ke arah itu akan dibuat menerusi platform Dewan Harian Pas Pusat bersama Dewan Harian Pas Johor pada minggu hadapan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, hubungan Pas dan Bersatu kembali tegang apabila Abdul Hadi memaklumkan partinya bakal menilai semula kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kerana didakwa melanggar semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ketetapan sedemikian dibuat ekoran siri tindakan Bersatu yang dilihat kurang menyenangkan Pas sejak akhir-akhir ini.

Scroll to Top