13 Orang Asli Hulu Jelai bantu cari Jaslinda

13 Orang Asli Hulu Jelai bantu cari Jaslinda

TAPAH: Sekumpulan 13 Orang Asli dari Pos Titom, Hulu Jelai, Pahang tampil membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih sejak Ahad lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukan SAR yang beroperasi di sekitar Gunung Rayu telah bertemu dengan kumpulan Orang Asli terbabit yang turut menjalankan pencarian mangsa secara sukarela.

“Kesemua sukarelawan berkenaan adalah sebahagian daripada Team Pelindung di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti di kawasan hutan berkenaan.

“Kumpulan ini juga dipercayai telah memulakan usaha pencarian secara sukarela sejak empat hari lalu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, operasi SAR hari ke-10 masih sama seperti semalam dengan pasukan yang dihantar menggunakan pesawat Mi-17 masih berada di lokasi bagi meneruskan pencarian mangsa.

Menurutnya, pasukan terbabit dijangka keluar dari kawasan operasi pada tengah hari esok.

“Tiada pasukan tambahan dihantar ke lokasi hari ini sama ada melalui udara atau laluan darat.

“Operasi pencarian diteruskan oleh anggota yang sedia berada di kawasan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Scroll to Top