Seorang lagi dikhuatiri lemas di Sarawak

Seorang lagi dikhuatiri lemas di Sarawak

mdroji@bh.com.my

Kuching: Beberapa jam selepas seorang lelaki hilang akibat perahu dinaiki terbalik di Lingga, Sri Aman, seorang lagi lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di kawasan Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Lubok Antu.

Kejadian berlaku kira-kira 6 petang tadi dengan mangsa, Rudie Anak Lan, 31, dikatakan beriadah bersama ahli keluarganya di kawasan berkenaan.

Menurut maklumat awal, mangsa bertindak terjun ke dalam air untuk mandi, namun tidak timbul semula menyebabkan ahli keluarga melakukan pencarian awal di sekitar lokasi.

Selepas gagal menemui mangsa, keluarga menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bantuan mencari dan menyelamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada 6.05 petang dan pasukan enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 70km dari balai.

Kejadian terbaharu itu adalah yang kemalangan air ketiga yang berlaku di negeri ini dalam tempoh tiga hari dan kedua untuk hari ini.

Kira-kira 1 tengah hari tadi, Gerald anak Lansam, 42, dipercayai dihanyutkan arus sungai selepas perahu dinaiki terbalik di Sungai Banting berhampiran Rumah Panjang Charang di Lingga, Sri Aman.

Setakat 7 malam, mangsa masih belum ditemui.

Sebelum itu, mangsa dikenali Spielberg Dylan anak Sekunyir, 32, ditemui lemas oleh penduduk kampung pada 7.10 pagi tadi selepas tiga hari hilang akibat perahu dinaiki bersama enam penumpang karam di tengah sungai di Nanga Balang Gaat, Kapit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top