Polis Pahang siasat kes cucu Nik Abdul Aziz dakwa ditampar senator

Polis Pahang siasat kes cucu Nik Abdul Aziz dakwa ditampar senator

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Siasatan kes membabitkan cucu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, diserahkan kepada Polis Pahang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya hanya menerima laporan yang dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bahru.

“Untuk siasatan lanjut, kita serah kepada Polis Pahang. Kita hanya terima laporan polis sahaja dan laporan dibuat di IPD Kota Bharu,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan itu mendakwa ditampar senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi berkata, kejadian berlaku kira-kira 6 petang selepas tamat sesi ceramah sempena Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU).

Menurutnya, penceramah jemputan ketika program berkenaan ialah senator yang juga diperkenalkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah universiti.

Katanya, ketika ramah mesra selepas bergambar, seorang Timbalan Naib Cancelor memaklumkan kepada senator terbabit mengenai latar belakangnya sebagai cucu kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Dakwanya, perbualan kemudian berkisar kepada topik politik dan dia mendakwa senator terbabit mengeluarkan kenyataan yang mengkritik PAS, sebelum secara tiba-tiba menampar pipi kirinya menggunakan tangan kanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top