Akaun media sosial perlu izin ibu bapa

Akaun media sosial perlu izin ibu bapa

SHAH ALAM – Kebenaran ibu bapa dicadang dijadikan sebagai syarat tambahan dalam pendaftaran akaun media sosial bagi memperkukuh pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang mula mewajibkan pengesahan umur pengguna berusia 16 tahun ke atas.

Pakar Perunding Keluarga, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, langkah itu penting memandangkan remaja bawah umur masih berada di bawah tanggungan dan pemantauan ibu bapa.

“Pengesahan umur semata-mata mungkin tidak mencukupi sekiranya tiada penglibatan ibu bapa dalam proses pendaftaran akaun media sosial. Pada pandangan saya, perlunya ada kebenaran daripada ibu bapa untuk membuka akaun kerana anak-anak pada usia itu masih lagi dalam tanggungan keluarga.

“Kalau boleh, mekanisme pendaftaran itu jangan terlalu mudah sehingga boleh diambil ringan oleh mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu media melaporkan semua platform media sosial berlesen di negara ini diwajibkan melaksanakan pengesahan umur pengguna bermula Isnin bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas boleh mendaftar dan mengakses perkhidmatan yang bersesuaian.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan CPC dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

No Image Caption

Mengulas lanjut, Wan Akashah berkata, langkah kerajaan menetapkan had umur minimum itu sememangnya wajar kerana dapat membantu mengawal pendedahan kanak-kanak kepada kandungan serta risiko yang tidak sesuai di alam maya.

Bagaimanapun, katanya, perlindungan yang lebih berkesan memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata.

“Peranan ibu bapa, keluarga dan komuniti setempat tetap penting untuk memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran digital yang selamat.

“Anak-anak perlu dibimbing supaya mereka mampu menguasai teknologi tanpa menggadaikan maruah diri, agama dan nilai kehidupan,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan platform perbincangan berkala melibatkan pelbagai pihak berkepentingan bagi menilai keberkesanan peraturan sedia ada dan menambah baiknya mengikut perkembangan teknologi semasa.

Menurutnya, teknologi digital berkembang terlalu pantas dan peraturan yang diwujudkan hari ini perlu sentiasa disemak agar kekal relevan dengan cabaran baharu.

Dalam masa sama, beliau berpandangan had umur 16 tahun mampu membantu mengurangkan risiko kanak-kanak menjadi mangsa jenayah siber termasuk eksploitasi seksual dan pedofilia dalam talian.

“Ini merupakan langkah baik untuk generasi akan datang, tetapi ia perlu disokong pemantauan berterusan serta penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Jika kita tidak mampu selesai semua masalah sekali gus, sekurang-kurangnya kita perlu ambil langkah kurangkan kemudaratan yang boleh berlaku,” ujarnya.

Scroll to Top