Kerajaan Perpaduan mesti dipertahankan, rakyat mesti diutamakan – Mat Sabu

Kerajaan Perpaduan mesti dipertahankan, rakyat mesti diutamakan – Mat Sabu

“Kerajaan Perpaduan mesti dipertahankan, rakyat mesti diutamakan,” demikian kata Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi satu muat naik infografik di laman Facebook semalam.

Menurut Mohamad Sabu atau mesra dengan panggilan Mat Sabu, Kerajaan Perpaduan perlu terus dipertahankan bagi memastikan kestabilan politik dan pembangunan negara dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.

Foto: FB Mohamad Sabu

Beliau menyatakan PH terus memberikan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui pentadbiran negara.

Mat Sabu berkata, PH sentiasa mengutamakan semangat kerjasama politik, namun tidak akan berundur sekiranya berdepan cabaran daripada mana-mana pihak.

“Kerajaan Perpaduan mesti dipertahankan demi kestabilan negara dan Pakatan Harapan terus memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara.
“Kita mahu terus berkawan, namun jika ada pihak memilih untuk berlawan, kita bersedia bertanding habis-habisan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara turut menyentuh isu geopolitik antarabangsa dengan mengkritik kelemahan tata kelola dunia dalam menangani konflik dan ketidakadilan global.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa perlu lebih tegas dalam memperjuangkan isu Palestin serta mempertahankan prinsip keadilan sejagat.

“Prinsip Rahmatan Lil Alamin menjadi asas kepada perjuangan membela golongan tertindas. Dunia perlu lebih tegas terhadap isu Palestin dan segala bentuk ketidakadilan yang berlaku,” ujarnya.

Malah, Mat Sabu turut menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan dasar berkecuali serta menjalinkan hubungan baik dengan semua blok kuasa dunia tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Menurutnya, pendekatan diplomasi yang dibawa oleh Anwar penting bagi memastikan rantau ASEAN tidak menjadi medan persaingan kuasa-kuasa besar dunia.

“Malaysia kekal dengan dasar berkecuali dan bersahabat dengan semua pihak. Diplomasi yang dimainkan oleh Perdana Menteri amat penting untuk mengelakkan ASEAN menjadi medan pertembungan kuasa besar,” katanya.

Foto arkib: FB Mohamad Sabu

Menyentuh soal ekonomi dan keterjaminan makanan, beliau berkata, kerajaan sentiasa bersikap telus dalam menjelaskan isu berkaitan ekonomi, harga minyak dan bekalan makanan kepada rakyat.

Katanya, bekalan beras negara ketika ini berada pada tahap mencukupi dan dijangka mampu menampung keperluan sehingga penghujung tahun.

Beliau turut memberi jaminan bahawa segala bantuan serta pembangunan yang disalurkan kerajaan akan diberikan secara adil tanpa mengira fahaman politik.

“Kerajaan sentiasa telus mengenai ekonomi, harga minyak dan bekalan makanan. Bekalan beras negara mencukupi sehingga hujung tahun, manakala sektor pertanian termasuk di Johor akan terus diperkasa melalui peruntukan tambahan.
“Bantuan dan pembangunan mesti diberikan secara saksama kepada rakyat tanpa diskriminasi politik kerana keutamaan kita ialah kebajikan rakyat,” ujar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu.

Foto arkib: Bernama

Dalam pada itu, Mat Sabu mengingatkan rakyat supaya menjauhi sentimen perkauman dan memberi tumpuan kepada persaingan sihat dalam memajukan ekonomi negara.

Beliau berkata, masyarakat Melayu dan Bumiputera perlu menjadikan kejayaan kaum lain sebagai pemangkin untuk meningkatkan daya saing dan mencapai kemajuan yang lebih baik.

Tambah beliau, politik yang matang serta perpaduan rakyat perlu terus diperkukuhkan berteraskan nilai Rahmatan Lil Alamin bagi menjamin keharmonian dan kemakmuran negara.

“Kita perlu bersaing secara sihat tanpa sentimen perkauman. Melayu dan Bumiputera harus melihat kejayaan kaum lain sebagai motivasi untuk maju, manakala peluang ekonomi yang ada perlu direbut oleh rakyat tempatan demi masa depan negara,”
“Politik matang dan perpaduan rakyat mesti terus diperkasa berlandaskan prinsip Rahmatan Lil Alamin. Kerajaan Perpaduan mesti dipertahankan dan rakyat mesti sentiasa diutamakan,” tambahnya.

Sumber: Facebook Mohamad Sabu

Scroll to Top