Langkawi Jadi Saksi! Intai BTS ‘Yes! Captain Zul Aaryan’

Langkawi Jadi Saksi! Intai BTS ‘Yes! Captain Zul Aaryan’

Pulau Langkawi kembali menjadi perhatian apabila drama bersiri terbaru Yes! Captain Zul Aaryan memilih beberapa lokasi ikonik di sana sebagai latar penggambaran utama.

Min sendiri jadi saksi tau melihat di sebalik tabir penggambaran drama yang bakal bersiaran di slot Akasia TV3 bermula Julai ini.

Lawatan media selama tiga hari dua malam di Langkawi pada 20 hingga 22 Mei 2026 lepas memang cukup memberikan pengalaman berharga buat Min. Tambah pula bila menginap di The Riyaz Lavanya, memang lain macam feel dia. Memang susah nak lupa!

Korang bayangkanlah, dari suasana romantik atas cruise mewah, babak penuh emosi di tepi laut sehinggalah momen mendebarkan di cable car, barisan pelakon dan kru memang cukup komited menjayakan setiap babak demi memberikan pengalaman visual yang menarik buat penonton. Min yang berada dekat lokasi pun dah tak sabar nak tunggu drama bersiri ni ditayangkan nanti.

Antara yang paling mencuri perhatian sudah tentu kemunculan Jazmy Juma yang membawa watak utama sebagai Zul Aaryan serta Anna Jobling sebagai Zara Andrea. Gandingan pertama kali hero dan heroin ini dikatakan bakal menyajikan chemistry yang cukup kuat sepanjang drama ini berlangsung.

Sweet? Romantik? Rasanya dua perkataan tu pun masih belum cukup untuk Min gambarkan kemesraan yang mereka bawa. Haish, sekali Min pun dibuai rasa cinta tau!

Kalau korang nak tahu, drama arahan Nizam Zakaria ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Esma Daniel, Fadzliana Ahmad Daud, Nafiz Muaz, Natasha Sass, Daniel Fong dan ramai lagi. Barisan pelakon hebat ini memang sudah cukup buat Min rasa excited nak tunggu drama ni ditayangkan. Tak mustahil #YesCaptainZulAaryan bakal jadi antara drama wajib masuk watchlist korang nanti.

Cruise Mewah Jadi Lokasi Babak Romantik

Antara lokasi yang paling mencuri perhatian Min sudah tentu penggambaran di atas cruise sekitar perairan Langkawi. Beberapa babak penting melibatkan Zul Aaryan dan Zara Andrea dirakam ketika matahari terbenam dengan pemandangan laut yang memang cukup memukau.

Lebih menarik, suasana di lokasi juga dilihat santai apabila para pelakon sempat bergurau dan meluangkan masa bersama kru di antara sesi penggambaran. Namun bila kamera mula merakam, masing-masing terus fokus memberikan komitmen terbaik. Memang profesional!

Oh ya, ramai juga peminat yang berada berhampiran kawasan penggambaran tak melepaskan peluang merakam beberapa momen BTS yang kini mula tular di media sosial. Siapa je tak nak ambil peluang bergambar atau rakam momen bersama pelakon kesayangan sendiri kan?

Babak Tepi Laut Buat Peminat Tak Sabar

Selain cruise, kawasan pantai dan pesisir laut di Langkawi turut menjadi antara lokasi utama drama ini, termasuk di kawasan Pantai Tanjung Rhu.

Dengan angin laut dan panorama semula jadi yang cantik, Min rasa visual drama ni memang bakal nampak lebih sinematik dan premium di kaca TV nanti.

Ada juga babak yang dipercayai melibatkan konflik emosi antara watak utama sehingga membuatkan kru perlu mengulang beberapa shot demi mendapatkan hasil terbaik. Walaupun cuaca kadang-kadang berubah secara tiba-tiba, proses penggambaran tetap berjalan lancar.

Dan kalau korang nak tahu, lokasi ni juga antara scene yang wajib korang nantikan sebab ada something special menanti?

Cable Car Langkawi Jadi Taruhan Visual Drama

Tidak hanya tertumpu pada babak romantik, produksi Yes! Captain Zul Aaryan juga menjalani penggambaran di kawasan cable car terkenal di Langkawi.

Lokasi berketinggian itu dipilih bagi memberikan elemen dramatik dan visual lebih epik untuk beberapa scene penting. Malah ada peminat yang teruja selepas melihat beberapa pelakon menjalani penggambaran di kawasan tersebut sambil ditemani kru produksi yang ramai.

Gabungan panorama gunung, laut dan suasana berkabus memang memberikan aura berbeza kepada drama ini. Memang padu!

Jazmy Juma & Anna Jobling Curi Perhatian Di Lokasi

Sepanjang BTS berlangsung, ramai yang memuji profesionalisme Jazmy Juma dan Anna Jobling ketika berada di set penggambaran.

Walaupun jadual penggambaran padat dan perlu bergerak ke beberapa lokasi dalam sehari, kedua-duanya dilihat tetap mesra melayan kru dan peminat yang terserempak di lokasi.

Dengan cuaca pula kejap panas, kejap hujan, memang Min salute dekat para pelakon dan juga team produksi. Diorang memang pro! Kalau Min rasanya dah lama demam dah, haha.

Tidak kurang juga ramai yang mula membuat andaian bahawa drama ini bakal menjadi antara naskhah romantik paling hangat diperkatakan apabila ditayangkan nanti.

Ketika ditemubual team RotiKaya, Jazmy Juma sempat berkongsi yang chemistry antara dia dengan Anna Jobling sebenarnya tak susah pun nak jadi sebab watak yang diorang bawak memang ngam antara satu sama lain. Malah katanya, proses nak berlakon bersama Anna pun senang dan semuanya jadi agak natural depan kamera.

Tambah Anna Jobling lagi, dia sendiri berharap penonton boleh menerima versi drama Yes! Captain Zul Aaryan memandangkan cerita ini diadaptasi daripada novel bestseller yang memang sudah ada fanbase tersendiri.

Katanya, ramai peminat novel dah lama menantikan adaptasi drama ini, jadi mereka cuba ikut jalan cerita asal sebaik mungkin tanpa ubah terlalu banyak. Walaupun ada beberapa bahagian yang sedikit berbeza daripada novel, Anna berharap penonton masih dapat rasa vibe dan emosi yang sama seperti dalam buku asal.

Dari Wattpad Sampai TV3 — Ini Fun Fact Tentang “Yes! Captain Zul Aaryan”

Kalau korang rasa drama Yes! Captain Zul Aaryan ni baru nak mula hype, sebenarnya korang dah terlambat sikit. Sebab sebelum drama ni pun, novel karya Wnfhanna ni memang dah lama jadi kegilaan pembaca online terutamanya dalam komuniti Wattpad dan BookTok.

Novel ini mula diterbitkan di Wattpad sekitar Julai 2023 dan terus mencuri perhatian ramai pembaca digital. Tak ambil masa lama pun untuk cerita ni meletup apabila jumlah bacaannya akhirnya mencecah lebih 2.48 juta bacaan. Satu angka yang memang besar untuk novel Melayu di platform tersebut.

Disebabkan sambutan yang terlalu luar biasa, novel ini kemudiannya diterbitkan dalam bentuk fizikal oleh IKP sempena PBAKL 2024. Tapi yang lagi mengejutkan, sambutan terhadap versi bercetak pun sama “mengganas”. Setakat ini, jualannya dilaporkan sudah melebihi 36,000 naskhah dan konsisten berada dalam carta Top 10 MPH — sesuatu yang bukan mudah untuk dicapai dalam pasaran novel tempatan sekarang.

Bukan itu saja, Yes! Captain Zul Aaryan juga menerima rating tinggi 4.26/5 di Goodreads dengan ramai pembaca memuji chemistry antara dua watak utama yang dianggap “berapi”. Dalam komuniti BookTok pula, novel ini antara yang sering muncul dalam recommendation video pembaca Melayu.

Apa yang membuatkan cerita ni begitu mudah melekat dengan penonton dan pembaca mungkin datang daripada trope utamanya — “enemies-to-lovers”. Formula klasik yang memang tak pernah gagal tarik perhatian. Seorang CEO juruterbang yang dingin dan ego dipertemukan pula dengan intern perempuan yang berani melawan dan tak makan saman.

Gabungan karakter “ice meets fire” ni yang buat ramai pembaca kata hubungan mereka bukan sekadar sweet, tapi penuh ketegangan emosi dan dialog yang bikin geram dalam masa sama.

Versi dramanya pula menyaksikan Jazmy Juma membawakan watak Captain Zul Aaryan, seorang CEO juruterbang yang nampak serius dan sukar didekati, tapi perlahan-lahan menunjukkan sisi romantik yang buat ramai penonton cair.

Manakala Anna Jobling pula memainkan watak intern yang keras kepala dan tak takut untuk berdepan dengan bos sendiri. Dan daripada apa yang mula tular di media sosial sekarang, chemistry antara Jazmy dan Anna nampaknya memang menjadi antara faktor utama kenapa drama ni mula jadi perhatian ramai sebelum tayangan penuh pun bermula.

Menariknya lagi, kejayaan luar biasa novel ini turut membawa kepada penerbitan edisi hardcover khas pada tahun 2025 susulan permintaan tinggi peminat — sesuatu yang jarang berlaku kecuali sesebuah karya itu benar-benar mempunyai fanbase yang kuat.

Daripada sekadar cerita di Wattpad sampai berjaya diangkat menjadi drama primetime, Yes! Captain Zul Aaryan nampaknya sedang berada di landasan untuk jadi obsesi baharu penonton tempatan.

Apa pun, sama-sama kita tunggu sama ada Yes! Captain Zul Aaryan bakal jadi drama romantik paling viral tahun ni ataupun tidak.


Scroll to Top