syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Bila anak dah remaja, ada masa dia ada pilihan sendiri dan saya tidak pernah menghalang.”
Itu penjelasan ibu kepada penyanyi cilik, Amad Dayyan, Siti Saerah selepas Amad atau nama sebenarnya Ahmad Dayyan Saiful Anuar, 14, kini memilih untuk menetap di Kuantan, Pahang bersama bapanya.
Saerah atau nama sebenarnya Siti Nursairah Tarudin ketika ditemui pada sidang media pelancaran single baharu Umairah berjudul Hujung Indah berkata, dia tidak pernah menghalang anaknya membuat keputusan itu.
“Saya sebagai ibu tidak pernah menghalang kehendak dia sekiranya dia rasa pilihan untuk pulang ke sana itu adalah yang terbaik untuk diri dan kebaikan dia.
“Saya tak ada masalah. Sebenarnya kami semua okey, tak ada masalah,” katanya kepada Harian Metro.
Tidak menafikan rasa sedih dalam hati sebagai seorang ibu, Saerah bagaimanapun mengharapkan yang terbaik untuk anak keduanya itu.
“Ibu mana yang tak sedih. Memang saya sedih sampai tak boleh tidur. Tapi tak mengapa, itu pilihan dia. Jadi saya sebagai ibu mendoakan yang terbaik untuk dia dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat dirinya.
“Dengan pilihan yang dia buat itu, saya berharap akan ada perubahan yang baik untuk dirinya. Mungkin perubahan yang baik itu bermaksud dia merasakan pilihan yang dibuat itu membuatkan dirinya gembira.
“Kadang-kadang anak muda ini macam-macam. Mereka ada kehendak sendiri. Jadi tak mengapa, kita ikut sahaja pilihan dia.
“Kalau dia rasa pilihan itu membuatkan dia gembira dan membawa perubahan yang lebih baik, saya sebagai ibu pastinya turut gembira. Yang penting, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia,” katanya.
Ditanya mengenai kerjaya seni Amad yang bertapak di Kuala Lumpur, Saerah memaklumkan bahawa Amad kini bernaung di bawah kontrak selama dua tahun dengan syarikat rakaman World Peace Music.
“Sebenarnya sekarang ini Amad ada menandatangani kontrak untuk lagu. Jadi macam mana sekali pun dia kena selesaikan hal kerja dia.
“Saya cakap dengan dia, apa pun yang berlaku, kontrak itu kena diselesaikan juga. Apa yang perlu diselesaikan, kena diselesaikan.
“Saya hanya sebagai ibu yang mampu mendoakan yang terbaik untuk dia supaya dia berjaya pada masa hadapan dengan pilihan yang dia buat sendiri,” katanya.
Amad kini menetap di Kuantan bersama bapanya, Saiful Anuar dan berpindah sekolah ke sana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




