Las Rozas de Madrid, Sepanyol: Penyerang, Lamine Yamal dan Nico Williams dijangka cergas untuk diturunkan dalam perlawanan pembukaan Sepanyol di Piala Dunia 2026, kata jurulatih, Luis de la Fuente, hari ini.
Yamal dan Williams masing-masing terlepas aksi penghujung musim bersama kelab akibat kecederaan hamstring, namun De la Fuente tetap menyenaraikan mereka dalam skuad Piala Dunia Sepanyol dan memberitahu wartawan bulan lalu bahawa beliau menjangkakan kedua-duanya akan cergas untuk kejohanan itu.
Sepanyol yang juga juara Eropah memulakan kempen Kumpulan H pada 15 Jun menentang Cape Verde di Atlanta.
“Kami berkoordinasi dengan sempurna bersama kelab, kami meneruskan program yang telah ditetapkan sejak beberapa waktu lalu dan hakikatnya pemain semakin pulih setiap hari,” kata De la Fuente menjelang aksi persahabatan menentang Iraq pada Khamis.
Beliau berkata, pemain yang cedera menunjukkan perkembangan seperti yang dijangkakan, tetapi mereka tidak akan diturunkan menentang Iraq di A Coruna.
Ditanya secara khusus mengenai bintang remaja Yamal, De la Fuente berkata: “Jika semuanya berterusan seperti setakat ini, dia mungkin bersedia pada 15 Jun, tetapi itu tidak menjamin dia akan bermain.”
Sepanyol akan menjadi antara pasukan pilihan pada Piala Dunia di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS).
Namun, De la Fuente menegaskan kejohanan itu akan menjadi bersejarah kerana ia adalah Piala Dunia yang menyaksikan paling banyak pasukan mempunyai peluang realistik untuk muncul juara.
Selepas menentang Cape Verde, Sepanyol akan bertemu Arab Saudi pada 21 Jun di Atlanta sebelum menamatkan kempen peringkat kumpulan menentang Uruguay di Guadalajara pada 27 Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




