'Anak asyik salahkan diri, dia kata lebih rela mati' – balu Amirul Hafiz

'Anak asyik salahkan diri, dia kata lebih rela mati' – balu Amirul Hafiz

am@hmetro.com.my

Klang: Kematian penghantar barang, Amirul Hafiz Omar dalam kemalangan di Jalan Raya Barat di sini, Mac lalu menyebabkan keluarganya dirundung duka dan bergelut meneruskan hidup, terutama tiga anak yang masih kecil.

Balunya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, anak sulungnya, Muhammad Aqif Amsyar, 9, dihantui rasa bersalah kerana percaya dirinya bertanggungjawab atas kematian bapanya.

Amirul, 32, dalam perjalanan untuk membelikan buku matematik buat Muhammad Aqif apabila kemalangan maut itu berlaku.

“Anak saya asyik menyalahkan dirinya sendiri. Dia kata dia tidak lagi gembira dan hidup sudah tidak sama tanpa bapanya.

“Dia juga berkata dia lebih rela mati. Dia rasa bertanggungjawab kerana bapanya kemalangan disebabkan melakukan sesuatu untuknya.

“Tetapi saya terus mengingatkannya bahawa ia bukan salah dia tetapi pemandu kereta itu yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku,” katanya.

Nadia berkata, keluarganya masih cuba menerima kematian mengejut Amirul dan kekosongan besar yang ditinggalkannya.

“Kami bukan lagi keluarga bahagia seperti dahulu,” katanya sambil menangis.

Nadia berkata, anak keduanya, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, pula sentiasa terkenangkan Amirul menerusi barang-barang yang ditinggalkannya.

“Suatu hari dia bertanya kepada saya, ‘Perlukah saya bayar apa-apa untuk berjumpa Papa?'” katanya.

Berikutan kematian Amirul, dia dan anak-anak termasuk yang bongsu, Nur Humaira, 2, berpindah ke Perak untuk lebih dekat dengan keluarga.

Nadia yang datang dari Perak tampil hadir di Kompleks Mahkamah Klang, hari ini untuk mendengar prosiding sebutan yang melibatkan juruteknik R Saktygaanapathy, 28, yang dituduh membunuh Amirul dan mengambil dadah.

Saktygaanapathy didakwa membunuh Amirul pada jam 11.47 pagi di Jalan Raya Barat pada 29 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun jika sabit kesalahan.

Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah mesti disebat sekurang-kurangnya 12 kali.

Dia kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Dalam pada itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan memasukkan diri sendiri dadah jenis tetrahydrocannabinol pada jam 3.30 petang di Jabatan Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 29 Mac.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan pengawasan polis tidak melebihi tiga tahun.

Kedua-dua kes akan disebut semula pada 22 Julai.

Berdasarkan siasatan polis, Sakthygaanapathy didakwa memandu laju menuju ke bandar Klang dari Jalan Raya Barat, telah melanggar Amirul yang ketika itu menunggang motosikal untuk membeli buku matematik buat anak-anaknya.

Dia dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum membelok ke lorong bertentangan dan bertembung secara berhadapan dengan motosikal Amirul.

Pelanggaran menyebabkan Amirul melambung dan terhempas di atas Perodua Myvi. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah Amirul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh di Larut, Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top