Enam beradik tak sekolah: Keluarga dapat pembelaan

Enam beradik tak sekolah: Keluarga  dapat pembelaan

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kajang: Pejabat Ahli Parlimen Hulu Langat akan terus menjadi penghubung kepada keluarga enam beradik yang tidak bersekolah bagi memastikan segala urusan dokumentasi, pendidikan dan kebajikan mereka dapat diselesaikan secepat mungkin.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Farley Nik Nordin berkata, hasil lawatan bersepadu bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam mendapati isu utama yang perlu diselesaikan adalah berkaitan dokumentasi keluarga itu.

“Untuk bantuan sebenarnya tidak ada masalah kerana semua agensi bersedia membantu, namun ia terhalang oleh keperluan dokumentasi yang perlu dilengkapkan terlebih dahulu.

“Sebab itu apabila semua agensi berkaitan ada kita berusaha untuk merungkai masalah berkenaan supaya bantuan dan urusan pendidikan anak-anak ini dapat disegerakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, pejabat Ahli Parlimen Hulu Langat akan membantu apa sahaja keperluan keluarga terbabit termasuk menjadi penghubung dengan jabatan dan agensi berkaitan bagi mempercepatkan proses yang diperlukan.

Katanya, hasil lawatan itu JPN sudah mengambil tindakan segera dengan menjalankan proses pendaftaran berkaitan secara terus di lokasi lawatan, sekali gus memudahkan urusan keluarga itu.

“Kita akan bantu daripada apa yang diperlukan sama ada bantuan secara fizikal atau menjadi jambatan antara keluarga ini dengan jabatan-jabatan yang berkaitan.

“Hal yang penting sekarang ialah memastikan semua urusan dokumentasi dapat diselesaikan supaya kehidupan keluarga ini dapat diteruskan dengan lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top