Madrid: Lima pegawai polis maut dalam nahas jalan raya di Sepanyol, menurut pihak berkuasa wilayah pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut kerajaan wilayah, sebuah bas mini yang membawa pegawai polis berkenaan bertembung dengan sebuah lori tangki di Lebuh Raya AP-8 di Basque Country berhampiran Elgoibar dalam Wilayah Gipuzkoa.
Mangsa dilaporkan merupakan anggota pasukan polis dari Wilayah Navarra yang bersempadan dengan “Basque Country”. Kesemua lima penumpang dalam kenderaan polis itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu lori tangki pula dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Punca nahas masih belum dapat dipastikan setakat ini.
Susulan insiden itu, Lebuh Raya AP-8 ditutup di kedua-dua arah, manakala trafik dialihkan melalui Lebuh Raya AP-1.
Pasukan polis Basque, Ertzaintza memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar yang menjadi punca nahas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




