Kontraktor pembersihan bangunan menghadapi tekanan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ini disebabkan perkhidmatan pembersihan bangunan tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu yang dibenarkan seperti PKP 1.0. Kontraktor juga keliru kementerian manakah mengawal selia sektor pembersihan.
Sektor pembersihan dikategorikan sebagai perkhidmatan tidak dikawal selia dan terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Namun, KPDNHEP tidak mempunyai kod untuk perkhidmatan pembersihan. Di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kod yang ada adalah untuk perkhidmatan pembersihan awam.
Perkhidmatan pembersihan awam hanya membabitkan kerja pembersihan di kawasan awam seperti jalan awam, tandas awam, pusat penjaja awam termasuk pasar, pemotongan rumput, pembersihan sampah, pembersihan pantai dan pengalihan bangkai, tetapi tidak termasuk pembersihan bangunan.
Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC) mengemukakan rayuan supaya sektor perkhidmatan pembersihan disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu dibenarkan.
Sebahagian bangunan dan pejabat diselenggarakan kontraktor adalah termasuk dalam sektor dibenarkan beroperasi dan memerlukan perkhidmatan pencucian.
Di samping itu, pencucian ialah mukadimah kepada disinfeksi, sesuatu perlu dijalankan dengan kekerapan munasabah bagi membantu mengawal penularan COVID-19.
Amat mengecewakan apabila perkhidmatan pembersihan dan disinfeksi yang amat diperlukan untuk membantu mengawal penularan COVID-19 tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu dibenarkan.
Ini menyebabkan sebahagian besar kontraktor pembersihan menghadapi masalah untuk mendapatkan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan menunaikan tanggungjawab untuk membantu dalam mengawal penularan COVID-19.
MACC amat berharap kerajaan menetapkan kementerian manakah mengawal selia sektor pembersihan.
Seterusnya diharapkan kerajaan mengadakan kod khusus untuk perkhidmatan pembersihan bangunan yang amat diperlukan semasa COVID-19, dapat diteruskan tanpa rintangan surat kebenaran beroperasi.
Dalam tempoh lebih seminggu sejak PKP 3.0 berkuat kuasa, terdapat banyak kluster baharu tumbuh. Sudah tentu tempat atau kawasan termasuk dalam kluster terbabit perlu dibersih dan disinfeksi.
Bantulah kontraktor untuk mendapatkan surat kebenaran beroperasi supaya kami dapat membantu mengawal penularan COVID-19.
Pada masa sama, dalam tempoh PKP 3.0, terdapat bangunan dan pejabat tidak dibenarkan beroperasi dan mengurangkan kakitangan serta masa kerja. Ia menjejaskan kontraktor apabila pelanggan mengarahkan kontraktor turut mengurangkan pekerjanya.
Bayaran kontrak turut dikurangkan berdasarkan jumlah pekerja dibekalkan. Ini menyebabkan kontraktor kehilangan lebih 50 peratus daripada pendapatan bulanan. Gaji pekerja pula perlu dibayar penuh termasuk gaji pekerja terpaksa dicutikan.
Akibatnya kontraktor menanggung kerugian dan terpaksa ‘gulung tikar.’ Bagi kontrak pembersihan bangunan, keuntungan kasar secara purata tidak sampai 10 peratus daripada harga kontrak.
Kontraktor tidak seharusnya dibebankan dengan gaji pekerja ‘dicutikan,’ manakala pelanggan enggan membayar gaji pekerja terbabit. Pelanggan perlu mengambil kira kos tambahan ditanggung kontraktor semasa COVID-19.
Ini disebabkan bahan kimia digunakan semasa COVID-19 mengandungi bahan pembasmi kuman yang kosnya lebih tinggi daripada pencuci biasa.
MACC amat berharap kerajaan tidak mengabaikan sektor perkhidmatan pembersihan tanpa mengambil kira risiko ke atas kebersihan bangunan khususnya semasa COVID-19.
Kami menjalankan perkhidmatan bukan hanya untuk kebersihan, bahkan juga keselesaan dan kesihatan pengguna serta orang ramai.
Noruddin Idris,
Presiden Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia
Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd




