am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Syamel mendedahkan dia terpaksa mengambil tempoh 10 tahun untuk mencapai berat badan ideal sebanyak 68 kilogram (kg) sekarang.
Syamel atau nama sebenarnya, Syamel Aqmal Mohd Fodzly, 33, berkata, dia mengambil tempoh yang panjang untuk menurunkan berat badannya itu kerana tabiat suka makan.
“Berat badan saya ketika menyertai program Akademi Fantasia (AF) pada 2015 dulu pernah mencecah sebanyak 100 kg dan saya berusaha untuk menurunkan berat badan secara perlahan-lahan hingga dapat berat badan 68 kg sekarang.
“Sebenarnya, berat badan saya cepat naik, lebih-lebih lagi kalau tidak jaga makan dan kalau dua minggu tidak buat senaman ia akan mula nampak di bahagian muka dulu.
“Saya akui proses untuk menurunkan berat badan itu bukan mudah kerana kalau berat badan saya turun secara mengejut nanti orang cakap ada ‘short cut’ (jalan pintas) pula,” katanya ketika ditemui media di sini.
Mengulas lanjut, kata Syamel, dia kini mengamalkan cara hidup sihat dan rutin senaman bersama jurulatih peribadi bagi menjaga berat badannya itu.
“Alhamdulillah, saya sudah berjaya dapat berat badan ideal. Saya masih makan macam biasa tetapi pastikan rutin senaman tiga kali seminggu.
“Selain senaman, saya juga aktif bersukan seperti bermain ‘paddle’ dan futsal.
“Jika nak diikutkan kalau kita ikut diet yang betul, kita juga boleh turunkan berat badan sebanyak 20 hingga 30 kg dalam tempoh setahun atau dua tahun tapi saya pula ambil masa lama sebab makan nasi dua kali sehari,” katanya yang kini muncul dengan single terbaharu berjudul Pertama.
Ditanya perubahan selepas penurunan berat badan pula, kata Syamel, dia akui lebih cergas dan fit dari segi stamina terutama ketika menjayakan persembahan di pentas.
“Saya berasa perubahan yang lebih baik dari segi stamina berbanding ketika zaman ‘chubby’ dulu.
“Baju yang saya teringin nak pakai dulu pun sudah boleh digayakan sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




