JOHOR BAHRU – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Rashifa Aljunied bersedia berdepan saingan sengit termasuk kemungkinan pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Rashifa, 26, yang juga Ahli Jawatankuasa Muda Pusat berkata, beliau menyedari kerusi berkenaan merupakan antara kerusi panasdan dijangka menjadi rebutan beberapa parti politik utama.
“Puteri Wangsa ini mungkin ‘hot seat’ bagi parti politik lain. Tapi saya lebih fokus kepada apa yang saya dengar dan lihat sendiri sepanjang berada di kawasan ini selama empat tahun.
“Saya tidak terlalu memikirkan berapa penjuru atau parti mana yang bertanding. Saya bersedia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon Muda di Taman Daya, pada Sabtu.
Menurutnya, keutamaan beliau adalah untuk membawa suara kira-kira 270,000 penduduk kawasan itu sekiranya diberi mandat, khususnya dalam menangani isu setempat seperti banjir yang kerap berlaku.
Beliau berkata antara isu utama yang membelenggu penduduk termasuk masalah banjir walaupun ketika bukan musim air pasang, yang dikaitkan dengan projek tebatan Sungai Tebrau.



