21 terkorban dalam kebakaran hotel di New Delhi

21 terkorban dalam kebakaran hotel di New Delhi
21 terkorban dalam kebakaran hotel di New Delhi

Operasi menyelamat di kawasan kebakaran sebuah hotel di New Delhi. – Agensi

NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera selepas satu kebakaran besar memusnahkan sebuah hotel di New Delhi, India, pada pagi Rabu.

Menurut Polis Delhi, kebakaran berlaku di Flourish Stay, sebuah penginapan jenis inap dan sarapan (bed-and-breakfast) yang terletak di kawasan padat penduduk di selatan ibu negara India itu.

“Dengan penuh dukacita, 21 individu telah disahkan meninggal dunia dalam insiden tragis ini,” kata pihak polis dalam satu kenyataan.

Laporan media tempatan menyatakan bahawa beberapa mangsa yang terkorban merupakan warga asing, terutamanya dari negara-negara Asia Tengah dan Afrika.

Kebanyakan mereka dipercayai berada di New Delhi untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Lebih 40 mangsa telah dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan, dengan lapan daripadanya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Rakaman yang disiarkan stesen televisyen tempatan menunjukkan api marak membakar bangunan hotel tersebut, manakala kepulan asap hitam tebal kelihatan menjulang ke udara.

Menurut Ahli Dewan Undangan Tempatan, Satish Upadhyay, seramai 47 tetamu berada di dalam hotel ketika kebakaran berlaku.

Penduduk setempat turut membantu di lokasi kejadian sementara pasukan bomba berusaha memadamkan api dan ambulans membawa mangsa ke hospital.

Kebakaran berjaya dikawal selepas lapan jentera bomba dikerahkan ke lokasi.

Pihak berkuasa memaklumkan semua agensi berkaitan masih berada di tempat kejadian bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan tragedi itu sebagai satu insiden yang menyedihkan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Punca kebakaran masih dalam siasatan namun, litar pintas elektrik yang berpunca daripada pendawaian yang tidak diselenggara dengan baik sering dikenal pasti sebagai penyebab utama kebakaran di India.

 

Mesti Baca

Scroll to Top