
Dari vuvuzela hingga topi keledar, kawalan keselamatan paling ketat bakal dikuatkuasakan di tiga negara penganjur. – Agensi
PENONTON Piala Dunia 2026 bakal berdepan dengan peraturan keselamatan yang lebih ketat apabila pelbagai barangan yang dianggap biasa turut disenaraikan sebagai larangan di dalam stadium.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah vuvuzela, alat tiupan ikonik Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, yang kini diharamkan kerana dikategorikan sebagai alat yang menghasilkan bunyi berlebihan.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut memperluas senarai larangan kepada barangan keselamatan dan aksesori harian seperti topi keledar motosikal, topi keselamatan pembinaan serta penutup kepala yang boleh digunakan untuk menyembunyikan identiti.
Lebih mengejutkan, kereta sorong bayi atau stroller, pembawa bayi, kerusi lipat dan kusyen tempat duduk yang mempunyai ruang simpanan turut tidak dibenarkan dibawa masuk ke stadium atas faktor keselamatan serta kawalan ruang.
Selain itu, penonton juga dilarang membawa minuman dalam botol, tin, bekas kaca serta makanan dari luar. Namun, botol plastik kosong biasanya masih dibenarkan untuk tujuan isi semula.
Barangan lain yang turut tersenarai termasuk beg besar, beg galas, payung, kayu swafoto, tripod, dron dan peralatan kamera profesional, dengan hanya beg kecil atau dompet lut sinar dibenarkan melepasi pemeriksaan keselamatan.
Turut diharamkan ialah hon udara, belon, objek kembung, bunga api, suar dan penunjuk laser yang boleh mengganggu keselamatan serta kelancaran perlawanan.
Pihak penganjur menegaskan semua peraturan ini dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan maksimum dan kelancaran operasi di stadium sepanjang kejohanan berlangsung.
Piala Dunia kali ini akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, dengan jangkaan kawalan keselamatan paling ketat dalam sejarah kejohanan.



