FIFA larang botol air guna semula di Piala Dunia

FIFA larang botol air guna semula di Piala Dunia

New York: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menguatkuasakan larangan membawa botol air guna semula ke dalam stadium Piala Dunia 2026 dalam perubahan peraturan saat akhir yang dijangka menjejaskan penyokong yang hadir ke venue perlawanan.

Menurut laporan The Athletic, garis panduan stadium FIFA sebelum ini membenarkan penyokong membawa botol plastik lutsinar yang boleh digunakan semula dengan kapasiti sehingga satu liter.

Bagaimanapun, peraturan itu kini dipinda dengan menyatakan secara jelas bahawa botol air guna semula tidak lagi dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium.

“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, botol air guna semula tidak dibenarkan dibawa masuk ke stadium,” menurut kod tatakelakuan stadium yang dikemas kini.

Jurucakap FIFA berkata, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan memandangkan beberapa venue Piala Dunia memang sudah melarang kemasukan botol air dari luar.

“FIFA komited melindungi kesihatan dan keselamatan pemain, pegawai, penyokong, sukarelawan serta kakitangan.

“Keputusan melarang botol dibuat bagi mengurangkan risiko kecederaan kepada pemain dan penonton,” katanya.

Menurut FIFA, pelbagai kemudahan termasuk stesen hidrasi, kipas penyejuk, kabus air dan khemah penyejukan akan disediakan di sekitar kawasan stadium.

Air minuman dalam botol juga akan dijual di dalam venue dengan harga yang dikatakan setanding acara lain yang dianjurkan di stadium terbabit.

Langkah itu bagaimanapun menimbulkan perdebatan kerana beberapa pakar sebelum ini memberi amaran mengenai risiko cuaca panas kepada penyokong sepanjang kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.

Laporan kumpulan penyelidikan World Weather Attribution bulan lalu menganggarkan 26 daripada 104 perlawanan Piala Dunia bakal berlangsung dalam keadaan tekanan haba yang tinggi berdasarkan indeks Wet Bulb Globe Temperature (WBGT).

Ketika saingan Piala Dunia Kelab FIFA 2025 di AS tahun lalu, penyokong turut dilarang membawa botol air ke dalam stadium dan ramai mengadu berdepan cuaca yang terlalu panas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top