KANGAR: Kerja-kerja baik pulih jalan dan cerun yang menghubungkan Wang Kelian, Padang Besar dengan Wang Prachan, Thailand dijangka siap pada Ogos depan sebelum laluan sempadan itu dibuka sepenuhnya buat semua kenderaan.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, buat masa ini, laluan itu masih belum dibuka sepenuhnya berikutan kerja-kerja pembaikan masih sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, namun begitu, kerajaan negeri telah bersetuju membuka laluan itu buat kenderaan ringan dengan muatan kurang daripada lima tan bermula 1 Mac lepas.
“Pembukaan semula laluan ini dilaksanakan setelah mengambil kira aspek keselamatan struktur jalan, keperluan kawalan trafik serta kepentingan mobiliti penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
“Laluan tersebut dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dan tertakluk kepada syarat keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya.
Abu Bakar berkata demikian menjawab soalan Haziq Asyraf Dun (Beseri-PN) berhubung perancangan kerajaan negeri terhadap pengoperasian semula sempadan Wang Kelian selepas banjir yang melanda Perlis baru-baru ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, Projek Rintis Zon Aliran Bebas (ZAB) Wang Kelian yang dijadualkan 12 Disember tahun lalu hingga 31 Mac ini terpaksa ditangguhkan susulan banjir dan runtuhan cerun di kawasan berkenaan.
“Mengambil kira perkembangan semasa serta saranan jabatan dan agensi berkaitan berhubung aspek keselamatan, kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi pembinaan pagar keselamatan sebagai prasyarat sebelum pelaksanaan semula ZAB Wang Kelian dapat direalisasikan.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan pengoperasian semula sempadan Wang Kelian dilaksanakan secara selamat, teratur dan memberi manfaat kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Katanya, laluan FT226 Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian juga kini dibuka buat kenderaan yang tidak melebihi lima tan walaupun kerja pembaikan cerun masih dilaksanakan.
“Papan tanda keselamatan telah dipasang di sepanjang laluan terlibat manakala pengawal trafik ditempatkan di kawasan berkenaan pada waktu siang bagi mengawal aliran lalu lintas,” katanya.-UTUSAN




