Petisyen hantar pulang Rohingya raih lebih 195,000 sokongan

Petisyen hantar pulang Rohingya raih lebih 195,000 sokongan
Petisyen hantar pulang Rohingya raih lebih 195,000 sokongan

Petisyen ‘Remove Rohingya from Malaysia’ meraih lebih 195,000 tandatangan setakat Khamis.

SHAH ALAM – Petisyen yang menggesa penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula mereka di negara ketiga telah meraih lebih 195,000 tandatangan setakat Khamis.

Petisyen yang dilancarkan oleh akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu turut menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian alternatif bagi menangani kebanjiran pelarian etnik tersebut.

Menurut penganjur, peningkatan jumlah etnik itu didakwa telah memberi tekanan terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial negara.

“Kemasukan ini telah menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat tempatan apabila sumber yang sedia terhad menjadi semakin terbatas.

“Kesan terhadap ekonomi juga tidak boleh dipandang ringan. Ketika Malaysia berusaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyatnya, kehadiran populasi pelarian yang besar memerlukan pengurusan yang teliti serta peruntukan sumber yang signifikan.

“Selain itu, keadaan menjadi lebih mencabar susulan pandemik global yang telah memberikan tekanan luar biasa terhadap sistem kesihatan dan ekonomi negara,” katanya.

Pada masa sama, penganjur turut menggesa kerajaan merangka dan melaksanakan pelan menyeluruh bagi menangani isu tersebut berikutan wujudnya kebimbangan berkaitan aspek keselamatan.

“Kami memahami aspek kemanusiaan yang berkaitan dengan situasi ini. Namun, kami berpendapat bahawa pendekatan semasa tidak lagi mampan dalam jangka panjang.

“Adalah penting bagi Malaysia untuk mengutamakan kebajikan dan kestabilan rakyatnya sendiri, sambil berusaha mencari penyelesaian yang berperikemanusiaan bagi golongan pelarian,” katanya lagi.

Kontroversi membabitkan etnik Rohingya tercetus susulan aduan penduduk setempat mengenai pengurusan sisa selepas penyembelihan lembu untuk ibadah korban, sekali gus mencetuskan semula perdebatan hangat mengenai kehadiran pelarian tersebut di Malaysia.

Aduan yang pada awalnya tertumpu kepada aspek kebersihan kemudiannya berkembang menjadi perbahasan lebih luas di media sosial mengenai status dan peranan komuniti Rohingya di negara ini.

Terdahulu, Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, menegaskan bahawa sebarang tuntutan penempatan Rohingya telah menyentuh sensitiviti kedaulatan negara.

Beliau menyifatkan sebarang tuntutan yang mendesak Malaysia memberikan penempatan tetap kepada pelarian sebagai tindakan yang tidak wajar kerana ia menyentuh sensitiviti kedaulatan negara.

Mesti Baca

Scroll to Top