Kota Kinabalu: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib hari ini mengesahkan akaun Facebook peribadinya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Susulan kejadian itu, beliau telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.
James menegaskan tidak pernah dan tidak akan meminta sebarang maklumat sensitif seperti nombor akaun bank, nombor telefon, maklumat peribadi, kata laluan, kod pengesahan (OTP) atau bantuan kewangan melalui media sosial.
“Sebarang mesej, hantaran, komen atau komunikasi yang menggunakan nama, gambar atau identiti saya bagi tujuan sedemikian adalah palsu dan tidak mendapat sebarang kebenaran daripada pihak saya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang cubaan penipuan dalam talian yang menggunakan nama serta identitinya serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi.
James berkata sebarang maklumat rasmi berkaitan tugas dan urusan beliau sebagai menteri hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi yang disahkan oleh pejabatnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




