RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan sentimen berhati-hati pasaran terhadap kenaikan harga bahan api, ketegangan geopolitik yang tidak berkesudahan dan ketidakpastian perdagangan global.
Pada 6 petang, unit tempatan menyusut kepada 4.0095/0140 berbanding dolar AS daripada paras penutup 3.9955/9990 pada Rabu.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga bahan api dijangka memberi tekanan terhadap inflasi global memandangkan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS), rejim zionis Israel dan Iran masih sukar dicapai.
“Justeru, para peniaga dan pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati, dengan harga bahan api dijangka kekal tinggi.
“Selain itu, Amerika Syarikat dijangka terus mengekalkan dasar perlindungan perdagangannya yang menjejaskan lagi sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.
Pada 2 Jun 2026, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) telah menerbitkan dapatan siasatan di bawah Seksyen 301 mengenai buruh paksa yang melibatkan Malaysia dan mencadangkan tarif 10 peratus ke atas barangan Malaysia setelah tamat tempoh tarif yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, pada 24 Julai 2026.
Dalam pada itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa tiada penentuan tarif muktamad dibuat terhadap Malaysia setakat ini, memandangkan tarif 10 peratus yang dicadangkan masih tertakluk kepada proses siasatan dan penentuan secara rasmi oleh USTR.
Ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.3872/3932 daripada 5.3727/3775 pada Rabu, turun berbanding euro kepada 4.6610/6663 daripada 4.6400/6440, dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.5081/5111 daripada 2.5005/5027.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1241/1279 daripada 3.1164/1193 pada Rabu, menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.2708/2903 daripada 12.1825/1988, dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.52 daripada 6.47/6.48.
Bagaimanapun, ringgit ditutup tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 222.1/222.4 daripada 222.3/222.7 pada Rabu. – Bernama
Artikel Disyorkan
04 Jun 2026 10:24am



