Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S) Dr Michael Mertin bagi membincangkan perkembangan semasa operasi syarikat AT&S Malaysia di Kulim, Kedah.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata sehingga kini syarikat itu menggaji kira-kira 2,700 tenaga kerja di Kulim.
Beliau berkata Malaysia merupakan antara hab pengeluaran utama syarikat tersebut selain Austria, China dan India, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap keupayaan dan daya saing negara.
“AT&S merupakan antara peneraju global dalam pengeluaran substrat litar bersepadu (IC) bernilai tinggi dan papan litar bercetak, selain membangunkan teknologi perhubungan canggih yang menyokong pelbagai industri strategik termasuk peranti mudah alih, automotif, aeroangkasa, perubatan, perindustrian serta pengkomputeran berprestasi tinggi bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI),” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberikan dukungan yang jelas dan konsisten kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
“Keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur antarabangsa seperti AT&S merupakan cerminan kestabilan politik negara, pengurusan ekonomi yang berhemat serta kejelasan dasar Kerajaan MADANI,” kata Anwar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




