ADUN Endau, Alwiyah keluar BERSATU, kembali kepada UMNO

ADUN Endau, Alwiyah keluar BERSATU, kembali kepada UMNO

am@hmetro.com.my

Mersing : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan meletakkan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang berkhidmat sejak 2018 bagi DUN Endau berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau akan kembali bersama UMNO.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa aspek demi kebaikan dan masa depan DUN berkenaan.

“Di sini, ingin juga saya tegaskan bahawa keputusan ini dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, pendirian saya kekal untuk terus berkhidmat dan memelihara kebajikan di DUN Endau,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Alwiyah yang juga Ketua BERSATU Bahagian Mersing berkata, beliau percaya tindakan itu dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik, selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau.

Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak, khususnya pengundi di DUN Endau.

“Terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh saya berkhidmat,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018, Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau atas tiket Barisan Nasional (BN).

Namun, pada Mei 2018, beliau bersama beberapa ADUN Johor yang lain mengumumkan keluar daripada UMNO dan menyertai BERSATU.

Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (PN-BERSATU) dalam pertandingan lima penjuru.

Seterusnya, Alwiyah dilantik sebagai Ketua BERSATU Bahagian Mersing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top