Imran Ajmain tak baca komen netizen selepas SFMM40 demi jaga emosi

Imran Ajmain tak baca komen netizen selepas SFMM40 demi jaga emosi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Imran Ajmain, 45, memilih untuk tidak membaca komen netizen di media sosial selepas persembahannya pada separuh akhir Muzik-Muzik 40 (SFMM40), baru-baru ini bagi menjaga emosi dan fokus terhadap perkara lebih penting.

Imran atau nama sebenar Ahmad Imranullah Ahmad Husaini berkata, dia sengaja menjauhkan diri daripada ruangan komen kerana tidak mahu terkesan dengan pandangan negatif yang boleh mengganggu emosinya.

“Saya tak baca (komen netizen), sikit pun saya tak baca sebab saya ada sesuatu yang lebih penting. Hati saya sudah sangat besar dan saya terima rezeki sampai ke tahap itu.

“Tapi, ada satu komen yang saya terbaca dan saya tergelak. Dia kata, ‘apa hal Sam Smith nyanyi lagu Seribu Tahun Lagi ini?’ mungkin sebab set dan pilihan warna persembahan saya menyerupai gaya Sam Smith,” katanya.

Imran berkara demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Spotlight KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Menurut penyanyi kelahiran Singapura itu, dia memahami setiap persembahan tidak mampu memenuhi cita rasa semua pihak dan kritikan adalah perkara biasa dalam industri seni.

“Saya tahu kemampuan, saya tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Kalau saya bukan cita rasa awak dan persembahan saya tidak menepati jangkaan awak sebagai ‘juri’ di rumah, ia tidak akan menjejaskan periuk nasi saya.

“Orang kata kata-kata dan perbuatan boleh menyakitkan tubuh, tetapi kata-kata tidak mampu melukakan hati saya. Saya sudah melalui perkara yang lebih berat sebelum ini,” katanya.

Mengulas persembahannya pada malam SFMM40, Imran mengakui fikirannya sedikit terganggu selepas menerima berita ibunya yang berada di Singapura kurang sihat.

“Saya ada satu kecemasan pada hari tersebut sebab mak saya kurang sihat di Singapura. Memang saya terganggu.

“Bila saya tengok semula persembahan itu, saya rasa saya dalam keadaan tergesa-gesa dan sebenarnya mahu segera pulang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top