am@hmetro.com.my
Kangar: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan beliau tidak pernah menyebut atau mengesahkan kewujudan Akuan Bersumpah (SD) bagi menjatuhkan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sebelum ini.
Beliau berkata, kenyataannya sebelum ini hanya sekadar memberi teguran dan saranan kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun agar polemik lapuk berhubung isu dokumen tersebut dihentikan segera.
Katanya, beliau secara peribadi sememangnya tidak mengetahui mengenai kewujudan SD terbabit memandangkan proses pelantikan jawatan Menteri Besar dibuat secara teratur dan setiap wakil rakyat dipanggil menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail secara berasingan.
“Macam yang saya sebut semalam, isu SD itu, saya pun tak sebut (pengesahannya) dan kita pun tak tahu kewujudan (SD itu) sebab kita (ADUN) dipanggil satu persatu oleh Tuanku (Raja Perlis).
“Saya juga tak sebut ada atau tidak, saya cuma minta ia dihentikan. Macam mana pun, sekiranya ada perkara-perkara ini, kita lenyapkan.
“Jadi saya cuma bagi saranan dan teguran kepada Ketua Pemuda, berkaitan dengan SD ini kita hentikanlah. Kita fokus kepada persidangan dan fokus kepada persiapan jentera pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, semua pihak dalam Perikatan Nasional (PN) Perlis terus berjuang untuk memastikan perpaduan dan penyatuan gabungan itu dipelihara demi memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
“Bagi saya isu SD sudah tak timbul sebab isu ini dah lama. Tapi mungkin ada juga pihak-pihak yang cuba mencetuskan isu SD semula.
“Hari ini sudah terang lagi bersuluh bahawa benda itu tidak akan dibangkitkan lagi,” katanya.
Semalam, Pemuda PAS negeri dilaporkan tetap dengan pendirian dan percaya berhubung wujudnya gerakan menandatangani SD yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam usaha menjatuhkan Mohd Shukri Ramli.
Haziq Asyraf berkata, pendedahan itu dibuat berdasarkan pengakuan daripada tiga bekas ADUN PAS yang terhenti keahliannya semasa pertemuan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat pada 21 Disember tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




