Anjing selebriti jadi hidangan restoran

Anjing selebriti jadi hidangan restoran
Anjing selebriti jadi hidangan restoran

Chutou sering menemaninya menjelajah seluruh China dan kisah mereka dikongsi menerusi media sosial. – Foto Agensi

BEIJING – Seekor anjing selebriti di China dicuri, dijual dan disembelih untuk dijadikan hidangan di sebuah restoran.

Menurut South China Morning Post (SCMP), anjing baka Border Collie berusia lapan tahun digelar Chutou itu terkenal kerana kepintaran dan sifatnya yang jinak.

Kejadian itu berlaku selepas pemiliknya, Guo meninggalkan Chutou di rumah ibu bapanya untuk menjalani pengembaraan solo ke Georgia.

Pada 11 Mei lalu, bapa Guo menyedari kehilangan Chutou dan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua individu tidak dikenali melarikan anjing tersebut dengan menunggang motosikal elektrik.

Guo kemudiannya berjaya mengesan lelaki yang didakwa mencuri Chutou dan kini berusaha mendapatkan keadilan buat haiwan kesayangannya meskipun berdepan kekangan undang-undang perlindungan haiwan peliharaan di China.

Lelaki itu memberi alasan dia menyangka Chutou ialah anjing liar dan haiwan itu mengikutinya selepas dipanggil.

Haiwan comel itu kemudiannya dijual di sebuah restoran daging anjing dengan harga 180 yuan (RM107).

Difahamkan, Guo membeli Chutou ketika berusia tiga bulan dengan harga lebih 2,000 yuan (RM1,191) daripada seorang penjual tepi jalan.

Sejak itu, Chutou sering menemaninya menjelajah seluruh China dan kisah mereka dikongsi menerusi media sosial tempatan serta platform YouTube serta mempunyai kira-kira 1.5 juta pengikut. – Agensi

 

Mesti Baca

Scroll to Top