Usaha menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional (MN) 2.0 dilihat selari dengan konsep perjuangan PAS yang menekankan penyatuan orang Melayu dan umat Islam sebagai teras kepimpinan negara.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perjuangan parti itu sejak sekian lama adalah untuk menyatukan masyarakat Melayu-Islam, di samping memastikan kepentingan masyarakat bukan Islam turut diambil kira dalam pentadbiran negara.
Menurut beliau, usaha memperkukuh MN 2.0 tidak seharusnya terhad kepada parti politik Melayu-Islam semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pelbagai pihak yang mempunyai pengaruh dalam kalangan umat Islam.
“Yang kedua wajib mengambil kira masyarakat majmuk bukan Islam, tidak boleh dipinggirkan. (Pertimbangan lain) bagi menjayakan MN 2.0 antaranya adalah kita mengajak bukan sahaja parti-parti Melayu Islam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, tetapi dalam kalangan berpengaruh dalam masyarakat Islam,” katanya, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gerakan yang mahu menghidupkan semula Muafakat Nasional 2.0.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan menyuarakan pandangan bahawa kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.

Artikel lain: Abdul Hadi sanggah label PAS parti mullah! Dakwa propaganda sesat Barat cemar imej Islam
Menurut beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijangka diikuti beberapa negeri lain berpotensi membuka ruang kepada perubahan dalam landskap politik negara.
Katanya, perkembangan itu juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam serta bumiputera menerusi kerjasama yang lebih kukuh antara parti-parti berkaitan.
Sumber: Utusan Malaysia (Mohd Shariza Abdullah)




