razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Pada usia ini, saya tidak mencari cinta seperti zaman muda, sebaliknya mencari seorang teman untuk berkongsi cerita, menjaga ketika sakit dan menemani hari-hari mendatang,” kata Jariah Idris, 66, yang tular selepas mendirikan rumah tangga dengan bekas abang iparnya, Megat Abdul Malek Megat Abdul Hamid, 72, baru-baru ini.
Megat Abdul Malek adalah suami kepada arwah kakak Jariah yang meninggal dunia akibat barah hati pada Mac 2025.
Perkahwinan pasangan itu mencuri perhatian ramai selepas video persandingan mereka dikongsikan di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi mengenai jodoh dan kebahagiaan pada usia emas.
Lebih menarik, majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu di Manjung, Perak pada 30 Mei lalu itu dilakukan secara bergotong-royong oleh anak-anak dan ahli keluarga kedua-dua pasangan supaya ibu bapa mereka dapat merasai pengalaman menjadi raja sehari.
Jariah berkata, kehidupannya berubah selepas kehilangan suami pada 2020 dan menjadi balu serta bergantung kepada tujuh anak selama hampir enam tahun.
Katanya, perkenalan dengan suami baharu juga bukan asing kerana status Megat Abdul Malek sebagai bekas abang iparnya.
“Adik lelaki saya selalu melihat keadaannya (Megat Abdul Malek) yang murung dan kurang ceria selepas kematian kakak. Pada masa sama, dia juga sering meminta saya berkahwin semula kerana sudah lama hidup sendirian.
“Dia kemudian mencadangkan nama saya kepada abang ipar. Pada mulanya, kami sama-sama terkejut kerana tidak pernah terfikir ke arah itu tetapi selepas berbincang dan mendapatkan pandangan keluarga, kami mula mempertimbangkan perkara itu dengan lebih serius,” katanya kepada Harian Metro.
Nenek kepada 19 cucu itu berkata, keputusan untuk berkahwin semula dibuat selepas mendapat restu anak-anak dan ahli keluarga yang akhirnya memahami hasrat mereka untuk membina kehidupan baharu bersama.
“Pada usia emas, kehadiran teman hidup memberikan ketenangan dan kebahagiaan yang sukar digambarkan kerana ada seseorang yang boleh diajak berbual, berkongsi cerita serta saling mengambil berat antara satu sama lain,” katanya.
Jariah juga tidak menyangka kisahnya mendapat perhatian meluas selepas video perkahwinannya dimuat naik di media sosial oleh anaknya, sekadar untuk kenangan mereka.
“Saya terharu dengan doa dan ucapan baik yang diberikan oleh ramai pihak. Pada masa yang sama, saya menghormati setiap pandangan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, Megat Abdul Malek berkata, cadangan untuk berkahwin dengan bekas adik iparnya itu diterima selepas memikirkan secara mendalam serta mengenali peribadi Jariah yang tabah dan bertanggungjawab.
“Pada usia ini, saya tidak lagi memandang perkahwinan sebagai soal cinta semata-mata. Apa yang lebih penting ialah mempunyai teman hidup yang boleh saling menemani, membantu dan mengambil berat antara satu sama lain.
“Saya berharap dapat menjalani kehidupan yang tenang, sihat dan bahagia bersama isteri serta keluarga sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang anak Jariah, Badrulmunir Khushairi, 32, berkata, pada mulanya dia dan adik-beradiknya agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai hasrat ibu mereka untuk berkahwin dengan Pak Lang (Megat Abdul Malek).
Bagaimanapun, katanya, selepas melihat kesungguhan kedua-duanya serta memahami tujuan perkahwinan itu, mereka akhirnya memberikan restu dan sokongan penuh.
“Bagi kami adik-beradik momen paling menyentuh hati adalah melihat senyuman mak dan ayah di pelamin. Ketika itu kami merasakan bahawa keputusan untuk merestui perkahwinan ini adalah keputusan yang tepat.
“Kami berharap masyarakat dapat melihat perkara ini dari sudut yang positif kerana setiap insan berhak untuk bahagia tanpa mengira usia. Kebahagiaan mak dan ayah juga adalah kebahagiaan kami sebagai anak-anak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




