Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, berkongsi pengalaman menziarahi tokoh ulama Pulau Pinang, Datuk Rosli Othman atau mesra disapa Tok Ayah sempena Aidiladha baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menyifatkan Tok Ayah sebagai seorang ulama yang bukan sahaja disegani masyarakat, malah menjadi tempat rujukan pemimpin dan pelbagai lapisan masyarakat dalam urusan agama, sosial serta kebajikan.

Menurut Steven, Tok Ayah merupakan mantan Ahli Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang yang mempunyai kepakaran dalam empat mazhab serta terkenal dengan penguasaan bahasa Arab yang tinggi sehingga pernah menulis ucapan pemimpin negara dalam bahasa berkenaan.
Beliau berkata, Tok Ayah juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), menghasilkan lebih 25 buku agama berbentuk terjemahan dan menjadi antara panel tauliah yang menilai guru-guru agama di negeri itu.

“Yang paling saya rasa terkesan, Tok Ayah ini seorang murabbi yang rendah hati, mesra dengan semua lapisan masyarakat. Orang kampung, orang bandar, anak muda, orang tua, orang politik tanpa kira parti, semua boleh duduk sekali dengan beliau.
“Beliau bukan saja jadi rujukan dalam hal agama, tapi juga sosial dan kebajikan. Kehadiran Tok Ayah ni macam cahaya yang bimbing masyarakat ke arah hidup lebih beradab dan berilmu,” katanya.

Artikel lain: “Enough is enough!”- Steven Sim gesa hentikan provokasi, rakyat Malaysia harus bersatu
Steven turut berkongsi bahawa beliau menerima hadiah sebuah kitab alih aksara bahasa Melayu bertajuk Syarah Bagi Matan Jawharah al-Tauhid daripada Tok Ayah sebelum mengakhiri kunjungan tersebut.
Beliau merakamkan penghargaan atas kesudian Tok Ayah menerima kunjungan itu dan mendoakan agar tokoh berkenaan terus diberikan kesihatan yang baik untuk meneruskan usaha membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih berilmu dan berakhlak.
Sumber: FB Steven Sim Chee Keong 沈志强




