Melaka tak ikut Johor, Negeri Sembilan bubar DUN – Ab Rauf

Melaka tak ikut Johor, Negeri Sembilan bubar DUN – Ab Rauf
Melaka tak ikut Johor, Negeri Sembilan bubar DUN – Ab Rauf

Ab Rauf ditemui pemberita pada majlis doa selamat di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah.

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka memutuskan tidak akan mengikut jejak Johor dan Negeri Sembilan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai negeri jiran, Melaka akan menghantar jentera untuk membantu memenangkan Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, beliau menegaskan tidak tertekan dengan pihak yang mendesak supaya Melaka membubarkan DUN bagi memberi laluan PRN diadakan serentak dengan dua negeri berkenaan.

“Saya mempunyai perkiraan dan aturan yang perlu diselesaikan mengikut pentadbiran serta urusan kerajaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu mengikut rentak yang dimainkan oleh orang lain. Kita tidak akan menari mengikut muzik mereka. Rentak mereka, rentak mereka; rentak Melaka, rentak Melaka,” katanya pada majlis doa selamat di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah sempena selesai menunaikan ibadah haji, pada Jumaat.

Ab Rauf berkata, walaupun DUN boleh dibubarkan pada bila-bila masa, Melaka tidak perlu tergesa-gesa berbuat demikian kerana situasi di Melaka berbeza dengan Johor dan Negeri Sembilan.

“Sebenarnya, suasana di Johor tidak sama dengan Melaka. Begitu juga suasana di Negeri Sembilan tidak sama dengan keperluan Melaka untuk membubarkan DUN dalam keadaan segera.

“Jadi, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa kita akan terus menjalankan urusan kerajaan bagi menyantuni rakyat sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada keputusan PRN kedua negeri tersebut akan diteliti dan difikirkan waktu sesuai sehinggalah tempoh tamat DUN Melaka pada 30 Disember 2026.

Bagaimanapun, Ab Rauf tidak menolak jika berlaku PRN serentak susulan politik itu boleh berlaku seribu satu kemungkinan.

Mesti Baca

Scroll to Top