ALOR GAJAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegaskan tidak akan terburu-buru membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun negeri jiran seperti Johor dan Negeri Sembilan bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Beliau berkata, Melaka tidak perlu mengikut rentak politik negeri lain kerana situasi serta keperluan pentadbiran adalah berbeza.
Menurut beliau, tempoh DUN Melaka hanya akan berakhir pada 30 Disember 2026 dan kerajaan negeri masih mempunyai ruang serta masa untuk meneruskan pelaksanaan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Seperti yang pernah saya nyatakan, tarikh tamat DUN Melaka ialah pada 30 Disember 2026. Menjelang tarikh tersebut, DUN boleh dibubarkan pada bila-bila masa.
“Namun, suasana dan keadaan di Johor tidak sama dengan keadaan di Melaka. Begitu juga dengan Negeri Sembilan. Tiada keperluan untuk Melaka membubarkan DUN dalam keadaan segera.
“Dari tarikh tersebut sehingga hari ini, saya masih belum mendapat ilham bila DUN akan dibubarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Doa Kesyukuran di Kampung Pulau di sini malam ini.
Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri akan terus menumpukan perhatian kepada urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi kelak.
“Kita akan terus menjalankan urusan kerajaan bagi menyantuni dan menyelesaikan hal-hal berkaitan rakyat. Kita tidak akan mengikut langkah Johor atau Negeri Sembilan semata-mata kerana mereka telah membubarkan DUN masing-masing.
“Malah, kita akan menghantar jentera untuk membantu kempen pilihan raya di kedua-dua negeri tersebut. Selepas melihat keputusan pilihan raya itu nanti, barulah kita akan mempertimbangkan waktu yang sesuai untuk Melaka mengadakan pilihan raya negeri,” ujarnya. – UTUSAN




