Cuaca panas bukan penghalang England – Tuchel

Cuaca panas bukan penghalang England – Tuchel

West Palm Beach: Pengendali England, Thomas Tuchel menegaskan cuaca panas melampau dan jarak perjalanan yang jauh antara venue bukan alasan buat pasukannya dalam mengharungi kempen Piala Dunia yang panjang.

England akan menentang New Zealand dalam aksi persahabatan pra-kejohanan awal pagi esok di Tampa Bay, Florida, dan sudah menjalani latihan dalam keadaan panas serta lembap di West Palm Beach.

“Kami tidak mahu menjadikannya sebagai alasan. Ia pasti sukar, tetapi kami berharap dapat mengharungi kempen Piala Dunia yang panjang.

“Akan ada banyak perjalanan dan cabaran daripada cuaca panas serta kelembapan tinggi,” kata Tuchel pada sidang media.

Dalam usaha menamatkan penantian 60 tahun menjulang trofi Piala Dunia, England hadir ke kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada sebagai antara pasukan pilihan bersama Perancis, Sepanyol dan juara bertahan, Argentina.

Selepas aksi pemanas badan menentang New Zealand dan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Costa Rica di Orlando pada Rabu ini, England akan menuju ke kem latihan mereka di Kansas City.

Kawasan itu dijangka mencatat suhu melebihi 30 darjah Celsius selain berdepan ancaman ribut petir dalam beberapa hari akan datang.

Three Lions akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Croatia di Dallas pada 17 Jun, dengan suhu dijangka mencecah 35 darjah Celsius minggu depan.

Jika mara melepasi peringkat kumpulan, England mungkin perlu beraksi di Mexico City dalam perlawanan pusingan 16 terbaik yang berlangsung pada altitud tinggi, selain Miami yang berpotensi menjadi venue suku akhir.

“Itulah juga tugasan kami. Kami mahu mewujudkan suasana yang tenang, sabar dan mampu menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan.

“Itulah yang diperlukan untuk mengharungi kejohanan ini,” kata Tuchel.

Walaupun cuaca panas dijangka menjadi cabaran utama sepanjang kejohanan, Tuchel menegaskan beliau tidak akan meninggalkan corak permainan tekanan tinggi yang menjadi identiti pasukannya.

“Ada nilai besar apabila kami berjaya merampas semula bola di kawasan tinggi walaupun ia berisiko dan memerlukan intensiti yang sangat tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top