SPR belum tetap tarikh mesyuarat khas PRN Negeri Sembilan

SPR belum tetap tarikh mesyuarat khas PRN Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menetapkan tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu semalam, walaupun suruhanjaya berkenaan dijadual mengadakan mesyuarat pada 12 Jun ini bagi menentukan tarikh PRN Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima surat rasmi daripada Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berhubung pembubaran DUN itu semalam selaras dengan Fasal 56(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menurutnya, berdasarkan Fasal 56(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, pilihan raya umum negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

“Mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Negeri Sembilan akan diadakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan berkata, mesyuarat berhubung PRN Johor yang dijadual berlangsung pada 12 Jun ini akan dipengerusikan oleh Ramlan.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.

“Selain itu, mesyuarat turut menentukan daftar pemilih yang akan digunakan serta membincangkan persiapan lain berkaitan pengendalian pilihan raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top