puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Ernie Zakri mengakui bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak terutamanya apabila membabitkan pembaharuan dalam corak penghasilan karyanya.
Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, berkata sebagai manusia ia adalah lumrah untuk mengambil masa lama sekiranya mahu mengubah sesuatu rutin, sama seperti situasi dalam kehidupan seharian.
“Macam kita sendiri pun kadang-kadang nak ubah sesuatu rutin itu, ia akan mengambil masa yang lama. Macam hari ini nak bersenam, kadang-kadang tak jadi pula. Begitulah maksudnya.
“Rutin yang kita berikan kepada pendengar juga adalah benda yang sama. Pada saya, jika kita terus konsisten dan percaya dengan apa yang ingin disampaikan, lambat-laun insya-Allah orang akan terima,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai segelintir pihak yang sukar menerima pembaharuannya dalam berkarya, Ernie menganggap ia adalah citarasa berbeza oleh setiap individu.
“Yang mana tidak terima, tidak mengapa. Mungkin mereka ada citarasa dan pandangan tersendiri terhadap karya-karya yang mereka suka. Saya juga tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima diri saya sepenuhnya.
“Kadang-kadang ada orang yang menerima saya mungkin sejak 10 tahun lepas. Mungkin ada yang berkata, sekarang ini (karya) sudah terlalu ‘berat’ sangat.
“Saya rasa, kalau saya kekalkan ini sebagai satu rutin dan terus percaya dengan apa yang saya lakukan, insya-Allah lambat-laun orang akan okay juga,” katanya.
Ditanya sama ada dia mempunyai keterbatasan dalam melakukan aktiviti seharian apabila perlu menjaga hati pelbagai pihak, Ernie berkata, dia tidak berdepan masalah selagi perkongsiannya adalah perkara yang positif.
“Semestinya kalau kita tahu benda itu buruk tetapi sengaja hantar (hantaran di media sosial), ia memang mengundang (kecaman).
“Tetapi kalau sekadar mahu berkongsi mengenai perkara yang saya suka bersama peminat, setakat ini okay sahaja.
“Macam saya cakap, ada orang akan suka dan ada orang tak suka. Mahu atau tak, kita sahaja yang jalani kehidupan ini. Kalau nak jadi macam orang lain, tak ‘best’ pula.
“Jadilah diri sendiri kerana orang menyukai kita disebabkan diri kita yang sebenar. Itu yang saya percaya dan cuba berfikir sebaik mungkin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




