Hakim AS sekat dasar imigresen Trump

Hakim AS sekat dasar imigresen Trump

Istanbul: Seorang hakim persekutuan di Rhode Island pada Jumaat menyekat beberapa dasar imigresen diperkenalkan pentadbiran Presiden Donald Trump yang menghalang ramai pendatang di Amerika Syarikat (AS) daripada memperoleh suaka, kad hijau dan manfaat imigresen sah lain, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam keputusan setebal 135 muka surat, Ketua Hakim Mahkamah Daerah AS di Rhode Island John McConnell memutuskan bahawa sekatan meluas terhadap manfaat imigresen sah itu adalah “bertentangan dengan undang-undang serta bersifat sewenang-wenangnya dan tidak munasabah.”

Salah satu dasar yang dibatalkan McConnell menggantung permohonan imigresen daripada rakyat 39 negara yang tersenarai dalam larangan perjalanan Trump, atas alasan kebimbangan keselamatan negara susulan seorang penerima suaka warga Afghanistan didakwa menembak dua anggota Pengawal Kebangsaan di Washington, DC.

Langkah yang diperkenalkan pada akhir tahun lalu itu sebahagian besarnya menghalang Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS (USCIS) daripada mengeluarkan kad hijau, permit kerja, kewarganegaraan dan manfaat lain kepada rakyat negara terjejas, kebanyakannya di Afrika dan Asia.

Dasar itu pada awalnya turut membekukan semua kes suaka USCIS tanpa mengira kewarganegaraan. Pada Mac, USCIS menyambung semula pemprosesan kebanyakan permohonan suaka namun masih mengekalkan penangguhan bagi rakyat dari 39 negara yang terlibat dalam larangan perjalanan itu.

Dalam keputusannya, McConnell menyatakan bahawa pendatang terjejas “telah mengemukakan dokumen sewajarnya, membayar yuran pemfailan yang diperlukan, menyerahkan biometrik yang diminta dan menghadiri temu duga secara bersemuka yang diperlukan.”

“Dalam melaksanakan dasar imigresen terbaharunya, USCIS mendakwa mempunyai kuasa statutori dan kawal selia yang sebenarnya tidak dimiliki; membuat keputusan tanpa penjelasan munasabah yang wajib diberikan; bertindak tanpa mengambil kira kepentingan pemohon yang perlu dipertimbangkan; serta mewajarkan tindakan mereka atas alasan ‘keselamatan negara’ yang bersifat dalih bagi menyembunyikan sentimen antipendatang yang tidak boleh mempengaruhi proses membuat keputusan,” kata McConnell.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top