KELANA JAYA – Tempoh kelulusan pinjaman mikro yang ditawarkan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) kini berjaya dipendekkan kepada kurang seminggu bagi memudahkan peniaga kecil mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan itu dapat dilihat selepas pelaksanaan program turun padang pembiayaan mikro yang menghimpunkan pelbagai agensi dan institusi kewangan bagi mendekati usahawan secara terus.
Menurutnya, program itu bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan tersedia, malah turut mencatat peningkatan pertanyaan dan permohonan daripada peniaga.
“Usaha ini sudah mula menunjukkan hasil, tetapi yang penting kita perlu terus memperluaskannya supaya lebih ramai peniaga mendapat manfaat,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan dan beramah mesra bersama peniaga di Pasar Tani Kelana Jaya di sini pada Sabtu.
Amir Hamzah menjelaskan, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan Agrobank.
Katanya, kerajaan mahu memastikan peniaga kecil bukan sahaja mendapat akses kepada modal, malah dibimbing untuk meningkatkan keupayaan mengurus perniagaan secara lebih berkesan.
“Kadang-kadang pinjaman sahaja tidak mencukupi, tetapi yang penting adalah meningkatkan kemahiran peniaga, cara mengurus akaun dan memastikan perniagaan mereka terus berkembang.
“Bila mereka lebih mahir dan mempunyai rekod perniagaan yang baik, lebih mudah untuk mereka mendapatkan pembiayaan lebih besar pada masa depan,” jelas beliau.
Beliau memberitahu, kerajaan turut menggalakkan penggunaan pembayaran digital dan kod QR dalam kalangan peniaga bagi membantu membina rekod transaksi yang lebih teratur.
Menurutnya, rekod transaksi digital dapat memudahkan institusi kewangan menilai prestasi perniagaan sekali gus mempercepatkan proses kelulusan pembiayaan.
Beliau berkata, terdapat peniaga yang memulakan pembiayaan melalui AIM atau TEKUN sebelum beralih kepada institusi kewangan lain apabila perniagaan mereka berkembang.
“Ini menunjukkan ekosistem pembiayaan yang kita bina berfungsi dengan baik kerana peniaga dapat berkembang secara berperingkat daripada perniagaan mikro kepada perniagaan yang lebih formal dan besar,” tambah beliau.



