
Sekumpulan lelaki menerima hukuman sosial apabila diarak mengelilingi kampung selepas didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri durian.
JAKARTA – Sekumpulan lelaki di Parigi Moutong, Sulawesi Tengah, menerima hukuman sosial apabila diarak mengelilingi kampung selepas didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri durian baka monthong, lapor portal berita detiksulsel.
Dalam kejadian itu, mereka diminta berjalan kaki tanpa memakai baju sambil menggantung buah durian pada leher masing-masing sebagai tanda peringatan kepada penduduk setempat.
Ketua Seksyen Pemerintahan Desa Posona Atas, Moh Efendi berkata, pihak kampung percaya kumpulan berkenaan telah beberapa kali melakukan perbuatan sama di kawasan tersebut.
“Kami mengesyaki mereka sudah berulang kali mencuri durian di Desa Posona Atas,” katanya kepada wartawan kelmarin.
Menurut laporan, kejadian terbongkar selepas penduduk yang menjalankan rondaan malam terserempak dengan seorang pemuda yang melalui jalan kampung pada kira-kira pukul 10.30 malam waktu tempatan, Sabtu lalu.
Kecurigaan timbul apabila pemuda yang menunggang motosikal itu didapati membawa beberapa biji durian monthong.
Penduduk kemudian menahannya untuk disoal siasat. Hasil siasatan lanjut membawa kepada pendedahan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.
Difahamkan, mereka akhirnya mengaku mencuri buah durian berkenaan. – Agensi



