MUAR: Hasrat dua rakan menyeludup dadah bernilai RM57.15 juta ke negara jiran terbantut apabila mereka dicekup ketika sedang memunggah barangan berkenaan ke dalam bot di kawasan Parit Amat Laut, di sini tengah malam tadi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, kedua-dua suspek berusia 63 dan 43 tahun itu ditahan dalam ‘Op Taring Landai – Intra/Inter Agensi’ yang dilakukan pada pukul 12.30 tengah malam.
Beliau berkata, hasil maklumat risikan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berkaitan aktiviti penyeludupan itu membawa kepada kejayaan melumpuhkan kegiatan sindiket dadah tersebut.
“Setibanya di lokasi kejadian, kita kesan sebuah bot dan beberapa buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan. Pemerhatian awal dijalankan mendapati beberapa individu sedang memunggah sejumlah bungkusan disyaki dadah ke dalam bot dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Pasukan serbuan segera menyerbu bot terbabit dan berjaya menahan dua suspek warga tempatan iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun dan seorang wanita berusia 43 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Noor Azman berkata, hasil pemeriksaan polis menemukan guni dan plastik hitam disyaki berisi dadah yang disembunyikan di dalam bot serta bonet kenderaan terbabit.
“Polis merampas 517 bungkusan plastik bertulisan ‘Guanyinwang’ disyaki dadah jenis syabu seberat 549 kilogram serta 191,268 unit pil ekstasi dan 4,000 katrij berisi cecair Yakuza yang dianggarkan bernilai RM57,150,900.
“Polis turut menyita tujuh kereta, sebuah bot fiber bersama dua unit enjin Yamaha Enduro 85 kuasa kuda (HP). Kedua-dua suspek disyaki berperanan sebagai penghantar kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN




