harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Seorang juruteknik maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Reko, di sini, lewat malam semalam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa berusia 28 tahun yang menunggang motosikal itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di lokasi kejadian sebelum dilanggar sebuah kereta kira-kira jam 11.13 malam.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa seorang lelaki tempatan dalam perjalanan pulang dari Putrajaya ke rumahnya di Semenyih sebelum dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama datang sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun terlanggar mangsa yang terjatuh kerana tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, lelaki berusia 52 tahun yang juga seorang pemandu e-hailing itu tidak mengalami kecederaan, namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




