am@hmetro.com.my
Pasir Gudang : Barisan Nasional (BN) Pasir Gudang bertekad untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas serta merampas semula DUN Johor Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ketua Pemuda BN Johor merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros, berkata fokus itu antara penekanan utama dibincangkan pada Mesyuarat BN Parlimen Pasir Gudang yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin malam tadi.
Katanya, mesyuarat berkenaan diadakan bagi menyelaras gerak kerja serta memperkemas struktur organisasi parti bagi memastikan jentera BN berada dalam keadaan lebih tersusun, sistematik dan bersedia menghadapi PRN akan datang.
“Sudah tentu fokus kita adalah untuk mempertahankan kemenangan di Permas dan pada masa sama berusaha merampas semula Johor Jaya.
“Kedua-dua kerusi ini penting dalam memastikan sumbangan kepada pembentukan kerajaan negeri yang stabil,” katanya di sini hari ini.
Noor Azleen berkata, kekuatan jentera BN di peringkat akar umbi serta kerjasama erat antara parti komponen menjadi asas penting dalam memastikan kejayaan BN pada pilihan raya akan datang.
“Kita tidak kisah siapa yang akan dicalonkan di kedua-dua kerusi ini kerana yang penting adalah bagi memastikan kemenangan calon dan parti,” katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pengerusi MCA Pasir Gudang, Tan Tuan Peng serta Pengerusi MIC Pasir Gudang, R Vijayan yang bersama-sama menyatakan komitmen untuk memperkukuh gerak kerja kedua-dua parti komponen berkenaan.
DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-16, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan PRN.
Pada PRN ke-15 pada 2022, BN memenangi kerusi DUN Permas menerusi calon, Baharudin Mohamed Taib dari UMNO dengan majoriti 7,956 undi.
Bagi kerusi DUN Johor Jaya pula, calon DAP, Liow Cai Tung berjaya mempertahankan kerusi itu buat tiga penggal berturut-turut dengan majoriti 1,922 undi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




