am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti dua kertas siasatan kes fitnah membabitkan isu pemilikan saham Velocity oleh Blomberg.com serta dakwaan ahli perniagaan Albert Tei terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya sudah menerima kedua-dua kertas siasatan berkenaan pada Khamis lalu dan ia masih dalam penelitian lanjut.
Katanya, setakat ini juga belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung kertas siasatan berkenaan.
“Sedikit masa diperlukan untuk penelitian dibuat. Selepas penelitian selesai, apa jua keputusan yang wajar akan diambil sama ada tindakan lanjut perlu diambil terhadap mana-mana pihak atau siasatan tambahan perlu dijalankan,” katanya, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar memaklumkan, dua kertas siasatan itu diserahkan kepada pejabat Peguam Negara, Khamis lalu untuk arahan dan nasihat selanjutnya.
Sebelum ini, polis dilapor mengambil keterangan Azam berkaitan kedua-dua kes mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Untuk rekod, pada 14 Februari lalu, PDRM membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.
Selain itu, siasatan lain juga turut dijalankan terhadap laporan polis yang dibuat Albert pada 13 Mei lalu berhubung dakwaan mengugut dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal rasuah Sabah pada November 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




