Saarani zahir penghargaan pasukan penyelamat, penduduk Orang Asli

Saarani zahir penghargaan pasukan penyelamat, penduduk Orang Asli

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih di Tapah sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa wanita itu berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak pantas dalam operasi tersebut.

“Alhamdulillah, Jaslinda yang dilaporkan hilang telah ditemui selamat.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk penduduk kampung Orang Asli yang membantu.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia atas doa yang dipanjatkan sepanjang operasi pencarian dijalankan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu hari ini, Jaslinda yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 15 hari lalu, ditemui dalam keadaan selamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak hampir dua minggu lalu.

Penemuan mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, Jaslinda ditemui oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenai penemuan berkenaan.

Keadaan mangsa dilaporkan stabil ketika ditemui, namun masih berada dalam pemerhatian pihak bertanggungjawab.

Gambar dipercayai memaparkan Jaslinda berada di sebuah rumah komuniti di kawasan berkenaan tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang mengikuti perkembangan kes tersebut. – UTUSAN

Scroll to Top