Kuala Lumpur: Jaslinda Saludin, 49,dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lepas melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun mangsa dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 24 Mei (7.30 pagi).
23 Mei (Sabtu)
*Jaslinda menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua malim gunung.
24 Mei (Ahad)
* Seorang peserta pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami sesak nafas dan muntah darah. Mereka berhenti bersama malim gunung di Kem Batu Kor.
*Jaslinda juga turut berhenti kerana sakit kaki, namun dipercayai meneruskan pendakian secara bersendirian untuk mengejar kumpulan di hadapan ke puncak Gunung Batu Putih.
*Mangsa kali terakhir dilihat sekitar jam 7.30 pagi oleh malim gunung sebelum dilaporkan hilang.
25 Mei (Isnin)
* Operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara rasmi digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama beberapa agensi lain.
*Pasukan khas STORM diturunkan menggunakan helikopter ke puncak Gunung Batu Putih bagi memulakan pencarian dari kawasan tinggi.
*Pasukan menemui kesan tapak kasut dipercayai milik Jaslinda di kawasan bukan laluan utama pendakian.
26 Mei (Selasa)
* Operasi SAR fokus ke kawasan di laluan antara Kem Sukaneka, Gunung Rayu dan Pos Musoh selepas mangsa disyaki tersasar daripada laluan asal pendakian.
* Pihak SAPURA dipanggil untuk menambah baik sistem komunikasi Government Integrated Radio Network (GIRN).
* Pada lewat petang, pasukan di lapangan menemui botol air, suplemen, bekas suplemen, pembalut gula-gula dan jejak tapak kaki.
27 Mei (Rabu)
* Petunjuk baharu ditemui termasuk botol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik mangsa di laluan menuju Gunung Rayu.
* Pasukan penyelamat terus berkampung di puncak, Pasukan STORM kumpulan kedua mula beroperasi
28 Mei (Khamis)
* Memasuki fasa kritikal selepas kehilangan lebih 72 jam dengan jangkaan mangsa semakin lemah akibat kekurangan air dan makanan.
*Polis merakam keterangan enam malim gunung dan suami mangsa.
* Seramai 92 anggota pelbagai agensi berada di lapangan.
29 Mei (Jumaat)
* Tumpuan operasi SAR beralih ke kawasan Sungai Ayer Busok berdasarkan kemungkinan mangsa turun mencari sumber air untuk kelangsungan hidup.
* Menteri Besar Perak memohon campur tangan dan kepakaran Tok Batin serta komuniti Orang Asli tempatan untuk menjejak mangsa.
30 Mei (Sabtu)
* Operasi diteruskan tetapi belum ada keputusan untuk menghentikan operasi.
31 Mei (Ahad)
* Pasukan SAR meneliti kamera rakaman Jabatan PERHILITAN di beberapa lokasi laluan pendakian.
* Rakaman menunjukkan Jaslinda melalui kamera jam 11.22 pagi, pada 24 Mei, namun tiada bukti beliau berpatah balik.
1 Jun (Isnin)
* Lapan anggota PGA diterbangkan ke sektor pencarian menggunakan helikopter untuk memperkukuhkan operasi
* JBPM mengumumkan bantuan 22 sukarelawan Orang Asli Kampung Ampang Woh akan menyertai operasi.
2 Jun (Selasa)
* Sukarelawan Orang Asli digerakkan untuk membantu pencarian di kawasan luar trek pendakian. Mereka dijadualkan menjalankan pencarian antara lima hingga enam hari.
*Mesyuarat khas memutuskan operasi SAR diteruskan dalam skala kecil.
3 Jun (Rabu)
* Operasi SAR diteruskan dalam skala kecil.
* Polis merakam percakapan 14 rakan mangsa yang menyertai pendakian.
* Polis memaklumkan kira-kira 95 peratus kawasan Gunung Batu Putih sudah diperiksa sepanjang 11 hari operasi SAR.
4 Jun (Khamis)
*Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf mengumumkan kawasan pendakian Gunung Batu Putih di Tapah ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.
* Sukarelawan Orang Asli berjanji meneruskan pencarian meskipun operasi SAR mungkin dihentikan suatu hari nanti.
5 Jun (Jumaat)
* Pembabitan orang awam serta individu bukan anggota Malim Gunung Perhutanan (MGP) tidak dibenarkan dalam operasi SAR disebabkan faktor keselamatan.
* Jabatan Perhutanan Perak (JPNPk) melarang kegiatan pendakian secara ‘dayhike’ atau ‘compressed hike’ di pergunungan berisiko di Perak berkuat kuasa serta-merta.
6 Jun (Sabtu)
* Jaslinda ditemui selamat di kawasan berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu di Pos Musoh.
*Mangsa ditemukan oleh seorang penduduk, Nazri a/l Bah Eng, kira-kira 3 petang, dan memaklumkan kepada anak saudara mangsa yang berada di Johor.
* Mangsa ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




