KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tokoh reformasi sebenar yang berjaya memulakan pelbagai agenda perubahan dalam pentadbiran negara, berbanding dakwaan sesetengah pihak yang mengangkat Datuk Seri Rafizi Ramli atau Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai pejuang reformasi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, kedua-dua pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu tidak wajar mendabik dada sebagai pejuang reformasi kerana mereka sendiri pernah berada dalam kerajaan dan mengetahui proses reformasi yang sedang dilaksanakan memerlukan masa serta ruang untuk direalisasikan.
Menurutnya, antara reformasi utama yang telah dimulakan Kerajaan Madani pimpinan Anwar ialah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) bagi memperkukuh disiplin kewangan negara.
“Rafizi dan Nik Nazmi sendiri pernah berada dalam kerajaan dan melihat sendiri bahawa proses reformasi sedang berjalan serta memerlukan ruang dan masa untuk dilaksanakan.
“Selain FRA, reformasi yang sedang dilaksanakan termasuk pengukuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, usaha memperkukuh tatakelola serta ketelusan perolehan kerajaan, pelaksanaan subsidi bersasar supaya bantuan lebih tepat kepada rakyat, selain memperkasakan institusi kehakiman dan usaha membanteras rasuah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas perkembangan politik semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Faezuddin berkata, kenyataan pemimpin Parti Bersama yang menolak kerjasama dengan mana-mana gabungan politik dan berhasrat bertanding menentang Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sikap angkuh.
Beliau berkata, pendirian sedemikian dilihat menutup ruang perbincangan dan kerjasama politik yang penting untuk menjamin kestabilan negara.
“Dalam realiti landskap politik Malaysia hari ini, semua pihak memahami bahawa tiada satu parti yang mampu mendominasi politik negara secara bersendirian.
“Justeru, kenyataan seperti itu dilihat sombong dan menutup ruang rundingan serta kerjasama politik demi kestabilan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat supaya memilih parti yang mempunyai hala tuju politik yang jelas serta berupaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
Menurutnya, PH kekal konsisten menyatakan kesediaan untuk bertanding di semua kerusi selain mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas untuk ditawarkan kepada rakyat.



