Kuala Lumpur: Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, menzahirkan penghargaan kepada penduduk kampung Orang Asli dan pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih di Tapah.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa wanita itu berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak pantas dalam operasi tersebut.
“Alhamdulillah, Jaslinda yang dilaporkan hilang telah ditemui selamat.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk penduduk kampung Orang Asli yang membantu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas doa yang dipanjatkan sepanjang operasi pencarian dijalankan.
Terdahulu, dilaporkan Jaslinda, 49, yang hilang ketika melakukan pendakian di kawasan Gunung Batu Putih ditemui selamat.
Penyelaras sukarelawan Orang Asli, Chew Ho Beng, memberitahu Berita Harian bahawa mangsa ditemui oleh penduduk kampung di penempatan Orang Asli Lubuk Gaharu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan penemuan itu dan memaklumkan bahawa butiran lanjut akan menyusul.
Jaslinda antara 14 pendaki dan dua malim gunung yang memulakan pendakian Trans-Spencer-Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedong–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan menghentikan pendakian.
Bagaimanapun, eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan pendakian ke puncak dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




