PETALING JAYA: Hanya selangkah sahaja lagi buat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menamatkan penantian gelaran selama 18 tahun oleh wakil Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, selepas pasangan No. 8 dunia itu menempah slot final di Jakarta, Indonesia, sebentar tadi.
Sze Fei-Izzuddin yang kini kembali berada pada prestasi terbaik mengejutkan beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 21-18, 17-21, 21-16 dalam masa 56 minit pada separuh akhir di Istora Senayan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin kini berjaya mengikat rekod pertemuan dengan Won Ho-Seung Jae menjadi 2-2.
Kali terakhir beregu Malaysia merangkul gelaran pada Terbuka Indonesia adalah dalam tahun 2008 menerusi Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari.
Beregu lelaki No. 3 negara itu bakal berdepan gandingan tuan rumah sama ada Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani atau Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dalam perlawanan akhir, esok.
Berdasarkan rekod pertemuan lalu, seandainya Sabar-Moh Reza menjadi pencabar mereka, rekod pertemuan 1-2 tidak berpihak kepada Sze Fei-Izzuddin, tetapi, kemenangan tidak mustahil mampu dicipta beregu Malaysia itu.
Sekiranya beregu remaja Indonesia, Raymond-Nikolaus pula yang menjadi lawan Sze Fei-Izzuddin, maka, rekod pertemuan kedua-dua beregu seimbang dengan keputusan 1-1.
Bagaimanapun, pada pertembungan terakhir kedua-dua beregu, Sze Fei-Izzuddin berhasil menewaskan Raymond-Nikolaus pada final Indonesia Masters, Januari lalu. – UTUSAN




