Cadangan pemimpin pelajar tanding PRU16 idea progresif – Akmal Zharif

Cadangan pemimpin pelajar tanding PRU16 idea progresif – Akmal Zharif

IPOH – Cadangan supaya pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti awam (UA) diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dianggap sebagai satu idea menarik dan progresif yang wajar diperhalusi.

Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Tinggi, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, cadangan yang dikemukakan tokoh akademik, Tan Sri Nordin Kardi itu mampu memberi peluang kepada golongan muda mendepani dinamika politik semasa.

Menurutnya, kelompok belia kini merupakan sebahagian besar daripada pengundi negara justeru penglibatan mereka dalam arena politik perlu diberi perhatian.

“Saya ada terbaca cetusan idea daripada Tan Sri Nordin Kardi yang cukup menarik dan luar kotak.di mana beliau mencadangkan agar pemimpin muda MPP atau Yang Dipertua MPP universiti diketengahkan sebagai calon pilihan raya.

“Ini satu cadangan yang begitu progresif kerana kita memberi peluang kepada anak muda mendepani dinamik politik pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong-Royong Perdana Taman Meru Perdana 2 di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas cadangan Nordin menerusi hantaran Facebook pada 3 Jun lalu yang mencadangkan parti politik mempertimbangkan Presiden MPP, pemimpin kanan MPP atau pensyarah muda universiti sebagai calon Parlimen di kawasan yang menempatkan universiti awam.

Bagaimanapun, Akmal Zharif berkata, cadangan tersebut perlu diperhalusi kerana aspek pengalaman turut penting dalam melahirkan pemimpin yang berkesan.

“Anak muda memang bagus, agresif, banyak tenaga dan pantas bekerja. Namun mereka juga perlu ada pengalaman supaya boleh menjadi pemimpin yang baik.

“Untuk menjadi pemimpin bukan semata-mata boleh bekerja laju atau agresif, tetapi perlu ada hikmah dan pengalaman. Pengalaman itu juga penting,” katanya.

Beliau yang bersetuju secara umum dengan cadangan tersebut berkata, Malaysia mempunyai ramai pemimpin muda berkaliber yang berpotensi memimpin negara pada masa depan.

Menurutnya, pengalaman sebagai MPP merupakan platform terbaik untuk mahasiswa membina rangkaian, mempelajari kepimpinan dan mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan.

“Setiap kali berjumpa MPP di seluruh negara, saya sentiasa menasihatkan mereka supaya mengambil peluang tersebut untuk membina hubungan dan belajar erti kepimpinan.

“Alhamdulillah, kita mempunyai anak muda yang cukup baik dan berkaliber. Insya-Allah masa depan negara boleh diberikan kepada mereka, tetapi kita sebagai golongan lebih berpengalaman perlu memberi pendedahan dan bimbingan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menggalakkan pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi menyertai Parlimen Belia yang disifatkan sebagai platform terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan.

“Parlimen Belia terbuka kepada semua golongan belia yang ingin menimba pengalaman sebagai Ahli Parlimen Belia.

“Jika ada pemimpin pelajar universiti yang berminat, ambillah peluang ini kerana ia dapat membantu mereka mengenali potensi diri serta menjadi pemimpin yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

 

 

Mesti Baca

Scroll to Top