KUALA LUMPUR – Ketahanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai manifestasi kematangan institusi politik Malaysia apabila beliau berjaya mengurus perbezaan, membina konsensus serta mengekalkan keyakinan institusi utama negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh berkata, pengalaman politik negara sejak 2022 menunjukkan kerajaan campuran mampu berfungsi dengan lebih stabil berbanding persepsi sebelum ini yang sering mengaitkan perubahan kerajaan dengan krisis dan ketidakstabilan.
Menurutnya, dari sudut pentadbiran awam, kejayaan seseorang Perdana Menteri tidak hanya diukur berdasarkan keupayaannya mengekalkan kuasa, sebaliknya sejauh mana kestabilan politik yang dicapai dapat diterjemahkan kepada reformasi institusi yang berkekalan.
“Dalam konteks ini, Anwar boleh dikatakan berjaya melepasi fasa pertama iaitu menstabilkan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Namun, fasa kedua yang lebih mencabar adalah untuk memastikan kestabilan tersebut diterjemahkan kepada perubahan struktur yang dapat dirasai rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU15 berjaya mengelakkan ketidaktentuan politik berpanjangan, namun pada masa sama memerlukan pelbagai kompromi politik bagi memastikan kestabilan pentadbiran dapat dikekalkan.
“Persoalan yang wajar ditimbulkan ialah sama ada kompromi tersebut memperkukuh agenda reformasi atau sebaliknya memperlahankan beberapa pembaharuan yang pernah dijanjikan sebelum ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, cabaran terbesar Anwar ketika ini bukan lagi untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, tetapi memastikan legasi pentadbirannya dinilai berdasarkan kejayaan melaksanakan reformasi institusi.
Katanya, aspek seperti peningkatan produktiviti ekonomi, pengukuhan integriti tadbir urus dan pembinaan kapasiti negara dalam menghadapi cabaran masa depan perlu menjadi keutamaan.
“Sejarah lazimnya tidak menilai pemimpin berdasarkan tempoh mereka memegang jawatan, tetapi berdasarkan perubahan yang berjaya mereka tinggalkan kepada negara,” katanya.
Menurut beliau, selepas hampir empat tahun mentadbir, persoalan utama bukan lagi sama ada Anwar mampu terus bertahan sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya, katanya, persoalan yang lebih penting ialah sama ada kestabilan politik yang berjaya dibina itu dapat diterjemahkan kepada reformasi institusi yang mampu bertahan walaupun selepas beliau tidak lagi berada di Putrajaya.
“Di situlah terletaknya ukuran sebenar kejayaan seorang negarawan,” katanya.



